YBR terima pengiktirafan ‘Excellence Award’ di Malaysia National Business Awards 2025

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menerima anugerah pengiktirafan, ‘Excellence Award’ dalam kategori Organisasi Bukan Berkeuntungan di Majlis Malaysia National Business Awards 2025, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur itu turut dihadiri penerima anugerah iaitu wakil pengurusan kanan YBR, Khairul Na’im Arifin yang merupakan Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR.

Pengiktirafan yang julung kali diterima YBR itu adalah atas inisiatif yang telah dijalankan yayasan berkenaan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat menerusi pendidikan serta program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun bagi membantu mereka yang kurang bernasib.

Menurut Khairul Na’im, anugerah itu antara pencapaian tertinggi yang diterima di sepanjang penubuhan YBR, dalam memupuk pembangunan sosioekonomi jangka panjang serta juga merangka program khas bagi membantu masyarakat memerlukan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.

“Pengiktirafan ini merupakan bukti dedikasi YBR memperkasakan masyarakat Malaysia serta kekal komited berbakti dalam membantu memacu negara ke peringkat lebih berdaya maju.

“Kami akan terus berusaha menyokong kemajuan pendidikan dan kebajikan masyarakat melalui pendidikan,” katanya dalam kenyataan di sini.

YBR mengucapkan terima kasih kepada semua golongan sasar yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang menjadi sebahagian daripada kejayaan itu.

Sepanjang tahun 2024, YBR telah membelanjakan sebanyak RM41 juta untuk penajaan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) kepada 424 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelaksanaan sebanyak 933 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada 185,000 penerima. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *