Oleh: Ibnu RushDee
ULAR menyusur akar tidak akan hilang bisanya – itulah ungkapan paling ‘berbisa’ mampu ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Senator Dr. Mohd Na’im Mokthar dalam mencanangkan negara atau kerajaan ini ke arah lebih harmoni, sepakat dan berkeyakinan.
Tidak dinafikan, idea, kecekapan dan tindak tanduk, Dr. Mohd Na’im dilihat remeh serta mundur ke belakang oleh sesetengah pihak – yang sentiasa berusaha menolaknya ke tepi – namun bagi rakyat jelata setiap kali Menteri ini berkata-kata dan memberi ulasannya dalam sesuatu perkara, ia disambut dengan baik dan positif tidak kira umat Islam atau bukan.
Mungkin ungkapan yang diberikan penulis ini dilihat sesetengah ‘pujangga kolot’, agak keterlaluan atau lebih kepada membodek – ya memang ia begitu – kerana bodekan ini adalah untuk memastikan Dr. Mohd Na’im meneruskan usahanya secara berterusan dan tidak melemahkan institusi kerajaan ini runtuh kerana ketiadaan semangat harmoni, setiakawan serta kebencian pelbagai bangsa.
Jelas terpancar dalam sanubari Dr. Mohd Na’im – yang mampu kita saksikan – tidak pernah beliau ‘duduk termenung’, berpeluk tubuh, selesa dengan pangkat serta menganggap diri ‘hebat’, kerana apa yang dilihat – beliau amat bimbang jika kedudukannya sekarang langsung tidak dilihat Allah SWT – kerana baginya amanah ini amat berat untuk dipikul.
Tidak perlu menayangkan apa yang dibuat, apatah lagi bercakap kosong demi kelangsungan mendapat pangkat atau taraf tertinggi di mata pemimpin negara – kerana bagi Dr. Mohd Na’im lebih baik beliau bekerja dan rakyat menerima dengan tangan terbuka kehadirannya dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT (Al-Mukminin: 57-61): “Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, (57) dan orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, (58) dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apa pun), (59) dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka (60), mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan dan merekalah orang yang segera memperolehinya (61).
“Aisyah Radiallahu ‘anha berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasullullah SAW mengenai ayat 60 di atas: Aisyah berkata: “Adakah mereka orang yang minum arak atau mencuri? Baginda menjawab: “Tidak, wahai anak Perempuan as-Siddiq. Tetapi mereka adalah orang yang berpuasa, solat dan bersedekah dalam keadaan takut tidak diterima daripada mereka. Merekalah orang yang berlumba-lumba melakukan kebaikan. Merekalah orang yang akan segera mendapatkannya (Sunan at-Tarmizi, Kitab Tafsir al-Quran, hadis nombor 3475).
Setiap kali mendengar ucapan secara langsung atau tidak, Dr. Mohd Na’im tidak lekang mengingatkan kepada semua umat Islam bahawa sesungguhnya tanggungjawab, amanah itu sememangnya berat sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang yang besar tidak sanggup memikulnya.
Walaupun langit, bumi dan gunung-ganang itu pada pandangan kasar bentuk fizikalnya lebih besar berbanding dengan manusia, tetapi manusia bersedia untuk memikul amanah yang amat berat ini, sekali pun manusia itu serba serbi memiliki kelemahan dan kekurangan, iaitu suka berbuat zalim dan suka membuat perkara sia-sia yang tidak sepatutnya dilakukan.
Bagi Dr. Mohd Na’im – tidak sempurna iman bagi seseorang yang tidak amanah, sebagaimana ditegaskan oleh Rasullullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud, “Tidak sempurna iman bagi yang tidak amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak berpegang dengan janji (HR Imam Ahmad daripada Anas bin Malik RA).
Justeru, bila suara sumbang memperlekehkan idea beliau mengenai garis panduan untuk umat Islam – beliau dengan tegas tetap meneruskannya tanpa berganjak kerana semuanya dibuat dengan penuh teliti dan tiada menyentuh orang bukan Islam.
Cuma ada politikus ‘sumbang’ bersuara untuk mencari populariti kerana cemburu dengan idea bernas Dr. Mohd Na’im. Orang di luar menyambut baik, cuma ada segelintir dalam kerajaan ini – tidak perlu sebut – yang perlu didiamkan kerana mencuba sesuatu yang tidak baik untuk keharmonian sejagat kerana politikus ini berpendapat idea Dr. Mohd Na’im tidak genius.
Bagi penulis, mereka ini tidak boleh ‘move-on’ kata pujangga Inggeris – tidak boleh lihat kecerdikan Dr. Mohd Na’im yang kita semua tahu beliau adalah pilihan Majlis Raja-Raja (MRR) dalam mencorakkan Kementerian Hal Ehwal Agama dalam Kerajaan Perpaduan.
Pendek kata, unsur cemburu berlebihan.
Begitu juga dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 lalu atau dikenali sebagai RUU Mufti juga menjadi tumpuan dan memberi signifikan tersendiri di parlimen sebelum ini.
RUU Mufti juga ada menimbulkan sedikit polemik, turut kedengaran suara-suara sumbang bernuansa cemburu dan lebih kepada irihati. Suara sumbang (politikus bersuara buluh pecah) berasa tidak puas hati dan buat bising sahaja (tanpa sebab) sehingga memberi impak tidak ‘cantik’ kepada orang bukan Islam.
Penulis tidak mahu mengulas panjang berhubung isu RUU Mufti ini, cumanya tidak faham kenapa ada suara kecewa seperti pungguk angankan bulan dan tidak memahami atau mengerti akan maksud dan tujuan RUU itu dibawa ke parlimen untuk dibahas.
Antara lain intipati RUU ialah untuk mensyaratkan pelantikan mufti dalam Wilayah Wilayah Persekutuan hendaklah mereka berpegang kepada ahli sunnah wal Jamaah ‘akidah al-Asyairah dan al-Maturidiyah’.
Jelas Dr. Mohd Na’im RUU itu digubal untuk memartabat dan memperkasakan martabat agama Islam di negara ini ~ tidaklah dianggap oleh individu tertentu terutama politikus ‘sempit’ ini yang menyifatkan RUU Mufti itu sebagai usaha membawa Malaysia ke kancah kafir-mengkafir dan sesat serta menyifatkan langkah itu sebagai kontras dengan Madani.
Oleh itu, suara sebegitu tidaklah diambil peduli Dr. Mohd Na’im kerana perbincangan dengan semua pihak, terutama tokoh agama negara dan muafakat bersama MRR diperteguhkan.
Untuk bersifat lemah semangat atau ‘lembik’ bila diasak bukanlah prinsip Dr. Mohd Na’im meskipun beliau sendiri terkenal dengan sifat lemah lembutnya bila berbicara dan cara santun beliau bersama rakyat.
Pendek kata, tidak sia-sia Perdana Menteri mendapat seorang Menteri Agama seperti Dr. Mohd Na’im. Bagi meneruskan tulisan ‘bodekan’ ini, penulis ingin jelaskan bahawa Dr. Mohd Na’im sememangnya bukan seorang yang angkuh, terima teguran, berpendirian jelas, berjaya tepis kontroversi serta agamawan yang disanjungi dalam dan luar negara.
Tidak perlu berbicara panjang atau berteka-teki – lihat sahaja karektornya menerusi gambar bersama rakyat marhean sehinggalah berpegang tangan dengan tokoh agama dunia. Itulah Dr. Mohd Na’im – ‘mutiara’ untuk kita semua. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001