KUALA LUMPUR – SSF Home Group Berhad (SSF) peruncit terkenal dalam perabot, hiasan rumah dan produk kediaman, mengumumkan keputusan kewangannya untuk suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 April 2025 (S3 TK2025) dengan merekodkan pertumbuhan hasil 31.1 peratus, meningkat daripada suku sebelumnya RM30.09 juta kepada RM39.45 juta.
Kenaikan hasil itu didorong oleh jualan musim perayaan yang kukuh dan sumbangan daripada pembukaan kedai baharu.
Hasil tahun ke tahun pula merekodkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding RM37.71 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya (S3 TK2024).
Pertumbuhan hasil yang mampan mencerminkan jejak peruncitan Kumpulan yang berkembang, dengan 47 kedai di seluruh negara daripada 41 kedai pada akhir S3 TK2025.
Pengarah Eksekutif SSF Home Group Berhad Lok Kok Khong berkata, pengembangan berterusan dan perkongsian strategik mengukuhkan kedudukan SSF sebagai pemain utama dalam segmen runcit rumah dan kediaman.
“Pertumbuhan hasil dan pemulihan keuntungan suku ke suku seterusnya menunjukkan daya tahan berterusan, yakin kehadiran pasaran kami yang kukuh, pembukaan kedai baharu dan inisiatif digital akan meletakkan SSF dengan baik untuk kejayaan jangka panjang,” katanya.
Walaupun hasil lebih tinggi, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan untuk S3 TK2025 berjumlah RM1.06 juta, menandakan penurunan daripada RM3.10 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh margin keuntungan kasar yang lebih rendah, ditambah dengan caj susut nilai yang lebih tinggi bagi aset Hak Penggunaan yang diperoleh daripada kedai runcit baharu pada suku tersebut.
Kok Khong menambah, selaras dengan pelan hala tuju pengembangan strategiknya, SSF Home Group terus mengukuhkan jejak runcit dan kehadiran digitalnya.
“Melangkah ke hadapan, SSF akan kekal fokus untuk meningkatkan rangkaian runcit, mengukuhkan keupayaan digital dan memanfaatkan trend perbelanjaan pengguna yang positif.
“Dengan prospek ekonomi yang optimistik dan permintaan berterusan untuk produk rumah dan kediaman, kami percaya SSF berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan yang mampan,” tambahnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001