Salah satu ‘permainan’ yang gemar dilakukan oleh Pak Long bila bersama-sama kawan-kawan semasa zaman kanak-kanak ialah berjual beli teka teki. Teka-teki dibawah ini dipetik dari buku, “Tangga Pengetahuan”, muka surat 22.
Pak Long sudah lupa jawapan teka teki di atas. Jika ada yang dapat menjawab semua teka-teki itu, Pak Long minta tolong kongsi jawapannya dan Pak Long dahului dengan ucapan tahniah.
Pelajaran 9*
TEKA TEKI
1. Dipandang nampak
Disebut hilang
2. Kita lari dia mengejar
Kita mengejar dia lari
Dipandang ada. Diambil tiada
3. Yang lari tak berekor
Yang mengejar tak berkaki
Yang memandang tak berkepala
4.Cik Yah jolok Cik Tam
Cik Tam jolok Cik Teh
Cik Teh tertawa – Heh! Heh! Heh!
5.Rupanya macam dia, tetapi bukan dia
Kita terperanjat oleh sebab dia
6.Pagi-pagi dia berkaki empat
Tengah hari berkaki dua
Petang-petang berkaki tiga
7.Orang menjemput belum pulang
Yang dijemput sudah datang
8. Ada dua biji:
Dibungkus seruas jari
Dibukakan sebuah negeri.
9. Ditikam tak mati. Dibakar tak hangus
Direndam tak basah, dipegang tak dapat.
Pada pandangan Pak Long, orang tua zaman dulu membuat teka-teki setelah banyak pengamatan dalam hidup. Teka-teki lama ini unik dan ini mungkin kerana penggarang teka-teki ini orang yang berhikmah. Justeru itu lahirlah teka-teki yang sedemikan rupa. Eloknya kita membudayakan balik ‘permainan’ teka-teki sebab kita dapat menajamkan pemikiran orang yang bermain permainan ini.
NDfasa2TekaTekiTanggaPengetahuan20Mac25