Oleh: Dr Mujahid Yusof Rawa
KENYATAAN terbaharu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menganggap had dua penggal penuh (10 tahun) perjawatan Perdana Menteri sebagai membelakangi ketetapan Allah, sekali gus melambangkan betapa sikap Presiden parti Islam itu menyalahi pendirian Islam sendiri.
Beliau nyata gagal memahami prinsip Maqasid Pemerintahan dalam Islam yang menitikberatkan soal Keadilan (Justice) dan Keamanahan (Trustworthy) serta menghalang tindakan luar batasan dan kezaliman. Firman Allah;
{۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِیتَاۤىِٕ ذِی ٱلۡقُرۡبَىٰ وَیَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَاۤءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡیِۚ یَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ} [Surah An-Naḥl: 90]
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya”
Apabila seorang Perdana Menteri, jawatan tertinggi eksekutif negara tidak diberi had tempoh memegang jawatan kemungkinan perjawatan itu membawa kepada pengumpulan kuasa yang membawa kepada pemerintahan kuku-besi (Istibdad) sehingga tujuan utama (Maqasid) pemerintahan terjejas daripada keadilan kepada ketidakadilan, beramanah kepada tidak beramanah dan kepertanggungjawaban kepada pengkhianatan boleh berlaku.
{وَلَا تُفۡسِدُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَـٰحِهَا وَٱدۡعُوهُ خَوۡفࣰا وَطَمَعًاۚ إِنَّ رَحۡمَتَ ٱللَّهِ قَرِیبࣱ مِّنَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ} [Surah Al-Aʿrāf: 56]
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya”
Bukankah Islam mementingkan amar makruf dan nahi munkar, yang menekankan semulia-mulia jihad itu adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim? Mengehadkan tempoh 10 tahun perjawatan PM adalah dalam bab mengelak kezaliman sebelum berlaku atas prinsip ” الوقاية خير من العلاج” atau “Mengelak lebih baik daripada merawat”.
Dalam Siyasah al-Syar’iyah atau disiplin ilmu pentadbiran dan pemerintahan, para ulamak sering memetik kata-kata ibnu Aqil, iaitu “السياسة ما كان من الأفعال؛ بحيث يكون الناس معه أقرب إلى الصلاح وأبعد من الفساد، وإن لم يشرعه الرسول -صلى الله عليه وسلم ولا نزل به وحي…”
“Siyasah itu adalah daripada tindak-tanduk di mana manusia dibawa hampir kepada kemaslahatan dan dijauhkan mereka daripada kerosakan, walaupun dalam menentukan tindakan tersebut tidak disyariatkan daripada perbuatan Rasulullah dan tidak diturun wahyu untuk berbuat demikian”
Salah satu maslahat untuk kebaikan rakyat ialah dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, walaupun tiada nas yang menetapkannya.
Bukankah Penasihat SG 4, Tun Dr. Mahathir Mohamed (22 tahun sebagai Perdana Menteri) yang pernah digelar sebagai ‘MahaFiraun’ kerana didakwa ada ciri-ciri kediktatoran berlaku disebabkan tiada had kepada perjawatannya?
Sepatutnya ibrah besar (pengajaran) yang perlu diambil iktibar sebagai solusi kepada masalah tersebut ialah mengehadkan tempoh PM supaya mimpi ngeri yang sama tidak berulang! “فاعتبروا يا أولي الأبصار”. Ambillah pengajaran wahai yang tajam pengamatannya!
Wawasan dunia dan akhirat kononnya tidak tercapai dengan mengehadkan tempoh 10 tahun seperti didakwanya adalah tersasar daripada perbahasan kerana mana-mana pemimpin dalam Islam perlu mencapai maslahat kebahagiaan di dunia dan akhirat dalam pemerintahannya sebagai tanggungjawab kepimpinan.
Dengan kejelasan ini apakah 10 tahun tidak mencukupi untuk melaksanakan visi dan misi dunia dan akhirat kepada rakyatnya?
Tersasulnya Presiden PAS buat sekian kalinya dalam memahami realiti semasa sama ada disebabkan kerana DAP yang menyebutnya atau kerana ingin mempertahankan Penasihat SG4 yang memerintah 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini atau Presiden PAS ini berpura-pura tidak tahu, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Keperluan mengehadkan dua penggal perjawatan PM bukan sebab DAP yang berkehendakkannya, tetapi disepakati sejak Barisan Alternatif lagi (1999) dan Pakatan Rakyat (2009-2013), di mana Presiden PAS itu pernah menyertainya.
Malaysia memerlukan kesegaran kepada politik Islam yang lebih inklusif, semasa dan berorientasikan kearifan lokal. Ide-ide yang mengikuti keperluan semasa, suasana yang melingkungi negara demi mencapai sesuatu kemaslahatan yang membangunkan negara adalah ciri-ciri yang melahirkan sebuah organisasi politik Islam yang berdaya saing, dinamik dan melihat masa depan.
{۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَـٰلِحࣰاۚ قَالَ یَـٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَـٰهٍ غَیۡرُهُۥۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ وَٱسۡتَعۡمَرَكُمۡ فِیهَا فَٱسۡتَغۡفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوۤا۟ إِلَیۡهِۚ إِنَّ رَبِّی قَرِیبࣱ مُّجِیبࣱ} [Surah Hūd: 61]
“Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.
Penulis, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Parti AMANAH yang juga Ahli Dewan Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001