Tulisan Jawi pernah hidup segar dalam kelas 

Tahun 1957, Pak Long dalam darjah tiga di Sekolah Melayu Sungai Petani, Kedah -sebuah sekolah bangunan kayu di Seberang Masjid Rahmaniah, Sungai Petani, Kedah. Beberapa tahun lalu, sekolah ini telah diroboh dan digantikan dengan bangunan sekolah yang baru – Sekolah Menengah Khir Johari. Kini,  Sekolah Melayu sama seperti tulisan Jawi sebagai mata pelajaran menjadi ‘arwah’. Pelajaran menulis dan membaca dalam tulisan Jawi adalah salah satu kemahiran yang diajar kepada kami generasi  merdeka. Mungkin ketika itu ramai orang Melayu masih tinggi keyakinannya tulisan Jawi sememangnya komponen penting sesebuah budaya.     

Arwah ayah membawa Pak Long beli buku teks Jawi “Tangga Pengetahuan” ini di Maruthan Store, “newspaper supplier, commision agent, type writer repairers” di Jalan Ibrahim, Sungai Petani. Ini adalah di antara buku teks yang Pak Long usung sehingga Pak Long ‘naik pangkat’ menjadi seorang Atok. Jika diikutkan hati, Pak Long hendak simpan semua buku lama supaya kekal terpelihara. Apakan daya, berpindah randah kerana tuntutan tugas tidak selalu memungkinkan buku-buku lama dibawa bersama-sama. Bila dikenang-kenang, terkilan juga Atok kehilangan novel “Desa Pinggitan” Ibrahim Omar dan “Jalan Pulang” Anas K. Hadimaja. Sedih sekali.

Mari kita balik ke tajuk buku teks darjah tiga ini. Oleh penjajah Inggeris buku ini termasuk di dalam “ The Malay School Series”, bilangan 11, dicetak dalam tahun 1955, oleh Macmillan & Co. Limited, London. Buku teks darjah tiga setebal 330 muka surat ini,   mengandungi 62 mata pelajaran. Sekadar contoh, tajuk pelajaran pertama ialah ‘Binatang-binatang jinak’, pelajaran kedua pula ‘Pertukangan Melayu’ dan pelajaran ketiga ialah ‘Takut’. Untuk tatapan semua pembaca, Pak Long pilih pelajaran 35 untuk coretan hari ini. 

Berikut adalah petikan penuh satu pelajaran “Tangga Pengetahuan” yang Pak Long taip semula ke tulisan Rumi, untuk renungan kita bersama. Perhatikan ‘laras’ bahasa zaman dulu berbanding bahasa zaman mutakhir:    

 

Mula:

Pelajaran 35: ‘Jawab Yang Melepas’ 

Al-kisah maka adalah pada suatu hari seorang yang amat miskin telah keluar dari pekan hendak pergi mencari kayu api. Apabila diperolehnya dahan-dahan dan ranting-ranting kayu kering seberkas maka dipikulnyalah berkas kayu itu hendak balik ke tempatnya; sambil berjalan itu berteriaklah ia, “ Jaga! Jaga! Jangan terkena duri!!”

Syahadan adalah seorang “kaya baharu” berjalan dalam lorong itu. Serta didengarnya teriak si miskin demikian itu maka menolehlah ia; akan tetapi kerana pongahnya tiadalah ia hendak menepi. Maka terkaitlah baju suteranya dan koyak oleh duri ranting si miskin itu. Maka marahlah orang kaya baharu itu lalu dipanggilnya mata-mata disuruh tangkap si miskin itu dibawanya ke hadapan hakim.

Setelah naik mahkamah maka oleh orang kaya baharu itu dipintanya hakim menghukumkan si miskin akan mengganti bajunya atau didenda akan dia seratus ringgit kerana kerugian bajunya koyak itu.

Maka berhadaplah tuan hakim menyoal si miskin itu bagaimana jalannya baju orang kaya itu terkoyak olehnya. Maka si miskin itu pun diam tiada hendak berkata-kata sepatah pun, hanya berulang-ulang menunjukkan mulutnya. Maka bertanya pula tuan hakim, “Bisukah engkau?” maka si miskin pun menganguk seolah-olah mengiyakan kata tuan hakim.

Setelah dilihat oleh orang kaya itu ujarnya, “ Sekali-kali tiada bisu si celaka ini, berdustalah ia tuan. Beberapa kali ada hamba mendengar ia berteriak-teriak “ Jaga! Jaga! Jangan terkena duri!!”   

Maka kata si miskin, “Maaf tuan hakim, sekarang ini tuan sendiri telah mendengar bahawa sekali-kali tiada dengan salah hamba bajunya koyak, sebab hamba berteriak “Jaga! Jaga! Jangan terkena duri!!”

Maka oleh tuan hakim disuruhya lepaskan si miskin itu dan dihukumkannya orang kaya itu denda dua puluh lima ringgit.

Tamat.

 

Salah seorang cucunda Pak Long, Dhia Aleesya telah baca teks Jawinya. Bila Pak Long tanya pandangannya tentang cerita ini, Dhia jawab dengan jujur sambil tersipu-sipu, “Tak menarik! Ada cerita lain yang lebih menarik”. Jawapan itu jujur walaupun itu bukan jawapan yang Pak Long harapkan. Zaman, generasi dan persekitaran telah banyak berubah dan anak-anak generasi sekarang mendapat peluang dan pendedahan yang sangat luas; mereka nikmati pelbagai bahan bacaan, hiburan dan permainan dari bermacam-macam saluran maklumat. Bagi Pak Long salah satu pengajaran yang boleh dipelajari ialah penulis zaman ini juga mesti berubah selaras dengan perubahan zaman. Jika tidak, sastera terus kekal ditanggapi sebagai sesuatu yang tidak berikan apa-apa makna dalam membangunkan negara. 

Tentunya ada pembaca yang ingintahu bagaimanakah perasaan Pak Long bila membaca cerita di atas enam dekad yang lalu? Tanggapan seorang anak darjah tiga sebuah keluarga miskin yang membesar di pinggir bandar, di rumahnya tak ada radio, tak ada bekalan elektrik kecuali pelita minyak tanah yang menjelagakan lubang hidung dan saban hari mandi dan minum air telaga dan  – baginya, membaca adalah satu-satunya hiburan untuk mengisi masa senggang selain dari melastik burung. Dari kaca mata seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun,  Pak Long melihat cerita ‘Jawapan yang melepas’ sebagai satu cerita yang menyeronokkan bila membaca tingkah laku dan jawapan si miskin yang bijak memerangkap dalam cerita itu. Tidak dapat dinafikan, ia secara tidak langsung meninggalkan kesan positif dalam diri Pak Long. Dalam diam,  Pak Long pun berazam untuk jadi manusia yang bijak.

Sebagai kesimpulan buku teks ini sangat menarik dan Pak Long teruja setiap selesai membaca setiap tajuk dalam ‘Tangga Pengetahuan’. Dan kita lazimya belajar sesuatu walaupun sedikit dari pembacaan kita. Oleh itu Pak Long sarankan supaya generasi baru dimantapkan jati dirinya dengan budaya rajin membaca dan serius merenung. Sesungguhnya manusia yang rajin membaca sering kali berjaya dalam kehidupan dan berhemah dalam pergaulan.    

NDfasa2TanggaPengetahuanJawabYangMelepasi15Mac25  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *