Selain tenang, Dr. Na’im juga disenangi
16/03/2025
Oleh Ibnu RushDee
TIBA-TIBA saja Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dipersalahkan dalam isu tiga DJ Radio Era hina agama Hindu. Ada netizen mendakwa Menteri Agama berdiam diri kerana beralah dengan pihak tertentu, dan ada juga yang mendesaknya supaya bertindak tegas terhadap penganut agama lain, selain Islam.
Sejak isu ini tular, ditambah pula dengan tindakan ketiga-tiga DJ berkenaan pergi ke Batu Caves untuk meminta maaf, ramai mula menuding kepada Jabatan Hal Ehwal Agama.
Macam-macam tuduhan, kata nista dan dakwaan negatif dilemparkan kepada sang penguasa agama, kononnya hilang taring, kena cucuk hidung dan macam-macam lagi.
Melihat keadaan yang agak kelam kabut dan boleh dikatakan netizen dalam keadaan minda keliru ini, penulis angkat tangan tabik dan puji sikap tidak cepat melatah Dr. Mohd Na’im dalam menangani masalah berbangkit.
Ibarat api sedang marak, kalau kita tersilap langkah menyimbah petrol, lagi marak api itu hingga tidak boleh dikawal. Jadi, tindakan Dr. Mohd Na’im adalah bertepatan. Beliau mengambil tindakan meredakan suhu panas dengan sesiapa pun tidak menyedari.
Umpama tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Begitulah orang yang berilmu bekerja. Beliau tidak perlu ke hadapan menunjukkan kepada umum yang beliau bekerja.
Cukup dengan nasihat, teguran dan pandangan telah meredakan keadaan, berbanding bertindak secara melulu yang akan mengeruhkan lagi suasana. Inilah cara orang yang profesional bekerja.
Dr. Mohd Na’im terkenal dengan sikap tenang. Sikap yang disenangi ramai pihak, walaupun ada sesetengah daripadanya tidak suka dengan sikap sedemikian.
Beliau dari awal tidak pernah gelabah, sebaliknya dengan keadaan tenang meminta semua pihak bersabar kerana perkara menghina agama ini termasuk dalam isu 3R, dan sedang ditangani oleh pihak penguasa serta berkuasa.
Yang pastinya, tidak ada siapa pun yang terlibat dalam penghinaan terhadap agama lain akan terlepas dari tindakan undang-undang. Begitu juga dengan tiga DJ berkenaan. Mereka sudah – selain meminta maaf – telah dikenakan hukuman denda.
Kiranya hukuman itu sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada mereka bertiga, termasuk sesiapa sahaja di luar sana agar tidak sekali-kali berani untuk mengulangi perbuatan sama, yang berkaitan dengan 3R.
Dr. Mohd Na’im – sepanjang lebih dua tahun mengetuai Jabatan Hal Ehwal Agama – apa saja isu yang tercetus sama ada secara sengaja atau tidak oleh pelbagai lapisan rakyat berbilang kaum, beliau menanganinya secara berhemah.
Baginya, kenapa perlu berburuk sangka dengan sesuatu isu selagi ianya boleh diselesaikan. Penyelesaian yang dilakukan tanpa perlukan mencetuskan pertelingkahan, yang menambahburukkan lagi keadaan.
Imam Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah prasangka sebab prasangka itu adalah perbuatan yang paling dusta”.
Rasulullah SAW menambah lagi peringatannya dengan bersabda: “Hindarilah prasangka kerana prasangka itu berita yang paling bohong. Jangan saling mencari-cari keburukan orang. Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi. Jangan saling mendengki, jangan saling marah dan saling tak acuh. Tetapi, jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah”. (Hadis Riwayat At-Tabrani).
Hadis ini sebenarnya memimpin kita supaya kita hidup bermasyarakat dalam situasi yang harmoni. Sekiranya setiap bimbingan yang disampaikan oleh Baginda SAW itu kita pegang seeratnya, maka dunia kehidupan sosial akan berada dalam suasana penuh kondusif.
Inilah dipegang oleh Dr. Mohd Na’im dalam mentadbir jabatan yang diamanahkan kepadanya. Bukan perkara senang atau mudah untuk menjaga hati lebih 30 juta rakyat dengan 300 kaum etnik dan sub-etnik yang mendiami negara ini.
Itu belum dikira belasan juta warga asing yang menganut pelbagai agama yang berada di bumi Malaysia sama ada bekerja, berkahwin atau bermastautin. Ini semua diambil kira oleh Menteri Agama untuk dijagai dan dipelihara agar tidak ada mana-mana daripada mereka mengambil kesempatan mencetuskan api perkauman.
Alhamdulillah, setakat ini, walaupun ada isu-isu perkauman dan agama dicetuskan, ianya tidaklah sampai ke tahap berulangnya tragedi 13 Mei 1969. Penulis yakin dan percaya, tidak ada seorang dalam lebih 30 juta rakyat Malaysia mahukan peristiwa berdarah itu berulang. – ND
menjejaskan peluangnya dalam pemilihan CEC DAP akan datang.”
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001