Kekang Esktrimis Agama dan Perkauman

Kekang Ekstremis Agama dan Perkauman

“LENSA TAFAKUR”

16/03/2025

Mohd. Shah Abdullah

LANGIT Malaysia selalu indah. Malam disinari bulan dan bintang. Bunyi cengkerik, kokokan ayam, arus sungai yang terus mengalir lembut, gunung-ganang dan segala flora serta fauna menambah seri watan tercinta.

Sesekali hujan, ada kala banjir, ada ketika peristiwa cemas menguji suasana, Malaysia berjalan terus dalam suasana aman, damai dan harmoni.

Semua rakyat dan majoriti cinta damai. Mereka tidak memilih kekerasan, sengketa, konflik, permusuhan apa lagi berperang. Itu bukan resmi perangai orang kita Malaysia.

Lihat suasana Ramadan sekarang. Semua orang fokus beribadah, siang berpuasa, malam diisi program menghidupkan malam. Banyak program menambah ilmu seperti tazkirah, tausiah dan kuliah yang silih berganti.

Tidak timbul lagi polemik tarawih lapan rakaat, 10 rakaat atau 20 rakaat. Ikut norma kebiasaan dan kesesuaian. Ada negeri yang patuh perintah Ulil Amri yang mendikrikan 20 rakaat. Rakyat ikut sahaja.

Bazar Ramadan jadi pusat kunjungan bukan sahaja majoriti orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Tiada isu.

Sekian lama orang Melayu berurus niaga dengan bukan Melayu. Beli barangan runcit, baiki mobil, beli segala jenis barangan kebanyakannya dengan golongan peniaga Cina dan juga peniaga India. Tiada masalah.

Kedai Mamak senantiasa jadi pilihan orang Melayu. Teh tarik, tosei, roti canai, capati, telur rebus separuh masak semua diminati orang Melayu. Meriah, tiada yang berbalah.

Pokoknya, banyak isu yang menyatukan kita sebagai satu bangsa. Ada perasaan dan hubungan kesalingan meskipun pegangan akidah, agama, dan kepercayaan berbeza sama sekali.

Kita tetap saudara kemanusiaan. Tiada sedikit pun keinginan untuk berkelahi, bergaduh apa lagi menumpahkan darah sesama saudara sebangsa, setanah air. Hanya yang mereng dan sewel sahaja mahu merungkai semua ini melalui jalan gila yang ditegah sama sekali agama dan undang-undang negara.

Akan tetapi semua ini seakan-akan mahu dirobek. Usaha menanam dan menyebarkan api perkauman serta memperalatkan isu-isu agama cuba dimainkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Selalunya bila melibatkan politik dan agama, ia lebih mudah dieksploitasi dan meletup. Mudah mencari kambing hitam, senang sekali menconteng segala kecelaan seolah-olah agama telah tegugat menunggu saat kehancuran. Seakan-akannya Islam telah musnah dan penganutnya tidak lagi boleh mengamalkan seluruh cara hidup beragama.

Begitu juga dalam hal ehwal bangsa, seolah-olah seluruh hak Melayu telah dirampas. Bahasa Melayu telah dinodai, tiada yang tersisa kerana semua sudah dijarah bukan Melayu.

Bukankah propaganda ini berbahaya? Bukankah ini hanya mengundang lebih banyak padah dan parah terhadap kesatuan bangsa dan negara?

Dalam masa yang sama, penduduk bukan Melayu perlu senantiasa cermat dan berhati-hati. Jangan mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir panjang akan kesan dan akibatnya. Jangan cuba berlagak sebagai hero dan jagoan sedangkan kail kita hanya panjang sejengkal.

Perkara yang sudah putus dimuktamadkan dan termaktub dalam Perlembagaan Negara seperti Agama Islam, Raja-Raja Melayu dan bahasa Melayu jangan sesekali diusik. Langkah itu ibarat menjolok sarang tebuan. Meminjam istilah orang seberang, itu tindakan dan aksi ‘goblok’.

Begitu juga orang politik perlu mengawal suhu kepanasan berpolitik. Isu-isu yang boleh membawa ketegangan, panas dan baran mesti dicegah dan dielakkan. Biasanya isu agama dan perkauman mudah sekali membuak dan menambah gelora.

Orang politik hendaklah mengelakkan isu-isu agama dan perkauman sebagai modal untuk perbatuan politik. Jika ia berlaku, nyata pendidikan politik masih di peringkat rendah, perlu ‘disekolahkan’ semula agar seluruh orientasi pemikiran politik menghala kepada pembinaan negara bangsa seutuhnya.

Inilah salah satu cabaran besar Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ikhtiar menangkis dan membetulkan semula naratif ini mesti dilakukan segera dan berterusan. Jangan biarkan negeri dan nurani bangsa ini terbakar akibat kelakuan sumbang dan JADONG (Jahil, Bodoh dan Sombong) sebagai meminjam ekspresi tokoh ilmuan Prof Syed Hussein al-Attas.

Malaysia perlu dipertahankan sebagai negara Madani, mengadunkan kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kelestarian masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya.

Badan penguatkuasaan harus bertindak pantas mengekang gejala ini. Gunakan segala ruang perundangan untuk menghakimi golongan JADONG ini. Dalam masa yang sama, naratif ini harus dilawan lewat fakta dan data. Puak ini mesti ditumpaskan!

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *