YBR bantu ringan beban keluarga insan istimewa

YBR bantu ringan beban keluarga insan istimewa

13/03/2025

PASIR PUTEH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyantuni anak-anak orang kurang upaya (OKU) menerusi pemberian bantuan persekolahan dengan kerjasama Persatuan Insan Istimewa Kelantan (INSANI).

Program itu bertujuan membantu anak mereka yang belajar di sekolah rendah memulakan sesi persekolahan yang baharu sahaja bermula pada pertengahan Februari lalu.

Bantuan berjumlah RM6,300 itu telah diperuntukkan kepada mereka dari kalangan keluarga OKU melibatkan 63 murid dan disampaikan dalam satu majlis penyerahan, di sini, hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Turut hadir, Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Syaiful Rizal dalam ucapannya berkata, selain misi membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, ia dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa terutama yang kurang upaya dalam menyediakan kelengkapan bagi pembelian baju sekolah, alat tulis dan sebagainya.

Menurut beliau, walaupun jumlah bantuan sebanyak RM100 tiap seorang itu dilihat kecil, namun diharapkan dapat memberi sedikit sinar kegembiraan kepada mereka dan sebagai tanda kasih sayang serta ingatan YBR kepada yang kurang bernasib baik.

“Selain itu, sumbangan sebanyak RM5,000 turut diberikan kepada INSANI bagi membolehkannya merancang dan menjalankan aktiviti serta pelan jangka panjang membantu golongan OKU melalui keperluan sara hidup, pembelian peralatan perubatan serta dorongan melalui pendidikan kepada anak-anak mereka.

“Sepanjang tahun 2024, YBR memperuntukkan sebanyak RM626,586 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *