“LENSA TAFAKUR”
13/03/2025
Mohd. Shah Abdullah
JARANG yang mahu bertanya soalan ini. Mungkin pemimpin utama dan penyokong tegar Pas tidak mahu berdebat soal ini. Pas sudah selesa kini.
Pas sudah menguasai empat negeri, Kelantan paling lama sejak 1990, diikuti Terengganu, Kedah dan Perlis.
Sejak semula Pas telah melalui jatuh bangun, rebah bangkit dan segala mehnah politik dan tribulasi perjuangan.
Pas pemuka Negara Islam, menuntut pelaksanaan hudud dan syariat Islam. Pas telah berpengalaman berkolaborasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Semangat 46 (telah bubar), DAP dan UMNO.
Semuanya berakhir dengan talak politik. Meskipun atas nama perpaduan ummah, Melayu dan Islam serta hubungan baik dengan non-Muslim, Pas tidak dapat begitu mudah mencari keserasian dan muafakat siasah.
Kini Pas bersama pula dengan gabungan Perikatan Nasional (PN), satu ikatan ‘pernikahan politik’ yang sedang dicermati. Nampak sekilas macam kental. Di bawah permukaan, ibarat ikan liar sukar dipancing!
Suara-suara Pas kini juga telah bernada lain. Tiada lagi kebisingan dan hiruk pikuk Negara Islam, Hudud atau isu Gaza. Mungkin Pas telah letih beretorik lebih separuh abad perjuangan.
Sekarang berada pada zon selesa. Ada empat negeri, agihan ‘kek’ kekayaan material sudah di depan mata. Tiada lagi keperluan menadah derma lewat tin milo dan kopiah. Tidak perlu lagi penyokong tidur di musolla bila ada program parti.
Pas kini lebih mesra dan mahu Tun Dr Mahathir Mohamed selalu di sisi. Dahulu Dr Mahathir seteru yang wajib diperangi, kerajaan Barisan Nasional ‘taghut’ (satu ungkapan yang tidak pernah dituntaskan konotasinya).
Itu belum lagi dikira fatwa Haji Hadi yang sampai sekarang belum ada penarikan rasmi.
Kini Pas dalam zon keselesaan, zon ekslusif kerana telah mencapai impian sekurang-kurangnya ada empat Menteri Besar dan menguasai jentera kerajaan negeri.
Bila Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kepercayaan sebagai Perdana Menteri (PMX) sukar betul untuk Pas menerima kepimpinan beliau.
Malah suara sinikal, sindiran tajam dan kutukan tetap kedengaran. Demikian pendirian Dr Mahathir terhadap Anwar, apakah itu juga pendirian Pas terhadap Anwar?
Untungnya Pas memiliki penyokong tegar, penyokong akar umbi yang tetap setia menyokong walau salah atau benar. Inflitrasi dan indoktrinasi itu telah berjalan sejak sekian lama. Sokong Pas, sokong Islam. Yang lain bukan jenama Islam.
Lalu, isu tatakelola dan beretika dalam mengurus pemerintahan negara tidak bersungguh-sungguh dicermati Pas. Isu rasuah, ketirisan, salah guna kuasa sepertinya tidak dalam aturan Awlawiyyat pemerintahan Pas.
Begitu juga pendidikan. Apa sebenarnya model pendidikan Pas untuk menghadapi cabaran dan tantangan dunia digital, Kepintaran Buatan (AI), tuntutan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang pasti melakar wajah baharu pendidikan masa depan.
Juga apa dasar dan strategi Pas untuk berdepan persaingan sengit geopolitik dunia yang deras berubah. Dasar Rumah Putih di bawah Presiden Donald J. Trump, kebangkitan China, India dan peranan Russia dalam persaingan geopolitik global yang semakin tidak menentu.
Malah apa cetak biru (blue print) Pas untuk Palestin merdeka, menyelamatkan Gaza atau sekurang-kurangnya Presiden Pas yang pernah dilantik sebagai Duta Bertaraf Menteri ke Timur Tengah – apa yang patut diketengahkan agar umat tahu “Pas is a force to be reckoned with”.
Tentang ekonomi, apa strategi Pas untuk berdepan situasi dan masa depan ekonomi yang kian tidak menentu. Pas jangan pandang mudah ekonomi domestik dan ekonomi global yang saling berkait. Malaysia negara perdagangan, ertinya pergantungan negara kepada ekonomi luar sangat tinggi.
Ekonomi bergantung tetap menanggung. Demikian kita perlu menghadapi apa juga tekanan, tempias dan impak ekonomi dunia seperti tarif kepada ekonomi domestik. Maka, jika Pas berasa ia parti pembangkang yang ‘viable’, ia mesti memberi maklum balas dan menjawab segala isu-isu ini dengan berfakta, bukan dongeng politik.
Jangan sekadar beretorika Islam terancam, Melayu terancam, sedangkan Kerajaan Madani telah dan sedang menyemarakkan inisiatif untuk Melayu-Islam. Dalam masa yang sama, mana mungkin hak-hak bukan Islam diabaikan. Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, dan Orang Asal semuanya warganegara Malaysia yang berhak menerima perlindungan, keadilan dan kemakmuran. Semua pembayar cukai dan penyumbang ekonomi negara.
Malah, dalam hal ehwal Islam apa yang sebenarnya Pas inginkan? Negara Islam, hudud? Dahulu pernah berada dalam kerajaan, pandai pula berdalih untuk tidak dapat menyempurnakan segala agenda itu.
Kerana itulah Pas wajar melakukan introspeksi, memeriksa kembali dasar dan strategi perjuangannya. Masihkah Pas di landasan sebenar atau sudah lari daripada jajaran Islam yang bersifat rahmat kepada seluruh alam.
Yakinkah Pas untuk diterima di wilayah Borneo (Sabah dan Sarawak) yang lebih rencam komposisi kaum dan fikrah politiknya?
Maka, untuk menjadi sebuah kerajaan mentadbir Malaysia, Pas harus memiliki lebih daripada sekadar slogan dan retorik.
Pas perlu membawa pakej Islam yang lebih dinamik, menyediakan solusi dan langkah-langkah pratikal.
Jika ramuan ini tiada atau belum cukup, wajarlah Pas terus duduk sebagai pembangkang. Lebih baik Pas menyokong Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malaysia akan lebih terurus, stabil dan makmur. Pas juga boleh menghentikan isu dan polemik Melayu-Islam jika memilih Kerajaan Madani. – ND
Biodata Penulis: Mohd. Shah Abdullah adalah bekas wartawan dan bekas Pensyarah dalam bidang Komunikasi dan Media. Fokus penulisan beliau ialah memperkukuhkan naratif Melayu-Islam dalam konteks masyarakat jamak budaya, selain tumpuan kepada aspek bahasa, sastera, seni, agama dan pemikiran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001