PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memberi penekanan terhadap inisiatif penghasilan pemimpin berkualiti dalam kalangan belia bagi memperkukuh pembangunan generasi pelapis negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS memberikan pendedahan awal kepada golongan berkenaan dalam aspek kepimpinan, tadbir urus dan kenegaraan.
Beliau berkata, Felo Perdana antara program utama yang membuka ruang kepada golongan muda memahami proses pentadbiran negara, selain membina kefahaman terhadap sistem kenegaraan secara lebih menyeluruh.
Selain itu, menurut beliau, KBS memperkukuhkan program Rakan Muda sebagai platform pembangunan sahsiah dan jati diri belia, selain merancang program merentasi kementerian lebih menyeluruh selari dengan keperluan semasa.
“Usaha ini penting bagi memastikan kita bukan sahaja melahirkan pemimpin, tetapi pemimpin yang benar-benar bersedia, berwibawa dan berintegriti,” katanya dalam temubual eksklusif bersama BERNAMA yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di pejabatnya, baru-baru ini.
Dr. Mohammed Taufiq berkata, agenda pembangunan kepimpinan belia itu juga selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin melihat lebih ramai anak muda tampil bersedia memimpin pada pelbagai peringkat.
Menurut beliau, usaha melahirkan peningkatan pemimpin berkualiti akan memberikan nilai tambah besar kepada negara merangkumi pelbagai bidang profesional terutama sektor pentadbiran.
“Pemimpin terbaik lahir daripada individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Yang penting ialah kita mahu anak muda yang berkualiti, mempunyai sahsiah, jati diri dan semangat kenegaraan yang tinggi,” katanya.
Mengulas aspek penilaian keberkesanan program, Dr. Mohammed Taufiq berkata, KBS turut dibantu oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) yang menjalankan kajian secara menyeluruh terhadap setiap inisiatif yang dilaksanakan.
Beliau berkata, dapatan kajian itu membolehkan kementerian merangka program yang lebih bersasar mengikut kumpulan umur serta keperluan semasa belia.
“Pendekatan berasaskan data ini penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan benar-benar memberikan impak,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkata, kerjasama rentas kementerian turut memperkukuhkan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam meluaskan capaian program.
Katanya, menerusi kerjasama rentas kementerian itu, program Rakan Muda kini diperluas ke sekolah, selain pelaksanaan Kelab Rakan Muda di Institusi Pengajian Tinggi dan inisiatif Rakan Niaga yang menyesatkan belia dalam sektor pekerjaan. — BERNAMA
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp:https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L