Imigresen serbu dua klinik bedah kosmetik cantikkan hidung milik warga asing

Imigresen serbu dua klinik bedah kosmetik cantikkan hidung milik warga asing

11/03/2025

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan sembilan warga asing dalam serbuan di dua unit kondominium di Desa Petaling dan Bukit Jalil, dipercayai menjalankan prosedur pembedahan kosmetik tanpa lesen didalangi doktor warga asing.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata dalam serbuan jam 11 pagi semalam, pihaknya turut menahan dua warga tempatan masing-masing seorang lelaki dan wanita disyaki ejen klinik berkenaan.

“Semua warga asing ditahan berasal dari Vietnam membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita.

“Mereka termasuk dua warga tempatan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi tujuan dokumentasi,” katanya.

Serbuan turut disertai pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur.

Wan Mohamed Saupee berkata rakyat tempatan yang menjadi ejen diberi komisen antara lima hingga 10 peratus daripada jumlah bayaran dikenakan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pembedahan di klinik berkenaan.

BERNAMA yang berkesempatan mengikuti serbuan itu mendapati antara perkhidmatan pembedahan kosmetik ditawarkan adalah bagi mencantikkan bahagian hidung, kelopak mata dan menegangkan muka.

Perkhidmatan pembedahan kosmetik itu ditawarkan pada harga antara RM1,000 hingga RM15,000 menggunakan perkhidmatan ‘doktor’ lelaki dari Vietnam yang dipercayai tidak mempunyai lesen dan sijil untuk menawarkan perkhidmatan berkenaan di negara ini.

Perkhidmatan itu turut dipromosikan di aplikasi media sosial oleh ejen berkenaan yang memaklumkan pelanggan mereka terdiri rakyat tempatan dan warga asing.

Serbuan turut mendapati bilik utama di kedua-dua unit kondominium disewa pada harga RM2,600 sebulan itu dijadikan bilik bedah yang lengkap dengan pelbagai alat pembedahan kosmetik termasuk ubat-ubatan dipercayai diimport. – Lapor BHNews

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *