Kemarau kemenangan Sri Pahang berakhir

Kemarau kemenangan Sri Pahang berakhir

09/03/2025:

KUALA LUMPUR – Sri Pahang menamatkan kemarau kemenangan lebih empat bulan dalam saingan Liga Super apabila menewaskan PDRM 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kali terakhir skuad Tok Gajah merekodkan kemenangan dalam liga adalah ketika menewaskan Penang 1-0 pada Oktober lalu dan selepas itu mereka tidak menang dalam lapan perlawanan terakhir.

Pada aksi sebentar tadi, skuad kendalian Fandi Ahmad yang hadir dengan misi menamatkan kemarau kemenangan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi penyudah Stefano Brundo.

Kelebihan itu bagaimanapun dipadam Bruno Suzuki selepas tujuh minit bersambung babak kedua apabila rembatan lencong dari luar kotak penalti yang dilakukan pemain kelahiran Jepun itu menghasilkan gol penyamaan buat PDRM.

Kem Sri Pahang kembali ceria pada minit ke-72 apabila penyerang berbisa mereka, Kpah Sherman berjaya meledak gol untuk meletakkan Tok Gajah sekali lagi di depan.

Enam minit kemudian, Sherman melengkapkan kemenangan Sri Pahang selepas menyumbang gol ketiga dan membolehkan Tok Gajah naik satu anak tangga ke kedudukan ke-10 dengan mengumpul 20 mata.

PDRM pula kekal di tangga kelapan dengan menghimpun 21 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.

Sementara itu, Perak gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan pasukan lawan bermain dengan 10 pemain apabila terikat tanpa jaringan berdepan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. – BHNews

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *