09/03/2025:
KUALA LUMPUR – Selangor mempertahankan gelaran naib juara Liga Super selepas membelasah pasukan tercorot, Kelantan Darul Naim (KDN) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Perlawanan itu menjadi detik paling manis buat Faisal Halim musim ini apabila dia bukan sahaja akhirnya membuka akaun jaringan selepas hampir 10 bulan Liga Malaysia (Liga M) 2024-25 berlangsung, malah pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut mencetak hatrik.
Bergelut untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik selepas menjadi mangsa simbah asid, Mei lalu, Faisal merasai nikmat menjaringkan gol apabila tenang menyudahkan umpanan kapten, Safuwan Baharudin untuk meletakkan Selangor di depan pada minit ke-13.
Tonggak pertahanan, Quentin Cheng menambah gol kedua pada minit ke-31 apabila rembatannya dari bahagian tepi menerjah jaring sebelum Faisal sekali lagi meledak gol pada masa kecederaan babak pertama.
Kenduri gol Selangor berterusan pada separuh masa kedua apabila Harith Haiqal Adam Afkar meledak dua gol pantas dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-54 dan 56.
Tidak cukup dengan itu, Stadium MBPJ terus bergema dengan sorakan penyokong Gergasi Merah dan kali ini menyambut hatrik Faisal yang menjaringkan gol peribadi ketiga dalam perlawanan itu pada minit ke-66.
Pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan kemudian menambah gol ketujuh Selangor pada minit ke-73, sekali gus menutup malam gemilang Selangor.
Berbaki tiga perlawanan lagi, Selangor sah mempertahankan gelaran naib juara yang dimenangi musim lalu dengan mengumpul 46 mata, 10 mata mendahului pasukan tangga ketiga, Sabah. – BHNews
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001