Syafiq, Mimi rahsia nikah atas permintaan keluarga

Syafiq, Mimi rahsia nikah atas permintaan keluarga

27/02/2025:

KUALA LUMPUR – Pelakon Syafiq Kyle, 32, mengakui pilihannya untuk mengahwini isterinya, Mimi Lana pada 14 Februari lalu tanpa hebahan media bagi menghormati keputusan keluarga.

Syafiq yang melangsungkan majlis pernikahan di Taiping, Perak yang hanya dihadiri kenalan rapat berkata, dia dan Mimi merasakan berkongsi berita baik pada hari pernikahan itu sendiri adalah suatu yang wajar.

“Kenapa memilih untuk ‘suprise’? Sebab, jalan yang saya buat untuk sampai ke hari nikah, saya hanya buat yang ‘necessary’ sahaja. Apa yang saya buat atas kehendak dan persetujuan daripada keluarga.

“Jadi, saya respek Mimi dan dia juga respek saya. Perkara ini juga dibincangkan dengan pengurus kami.

“Kami ambil pendekatan untuk isytihar pada hari nikah, itu lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod akhir Gadis Masa di ibu negara, malam tadi.

Syafiq berkata, dia ada perancangan mengadakan majlis resepsi di ibu kota, tapi masih dalam perbincangan memandangkan sedang sibuk.

Mengulas kehidupannya sebagai suami, katanya, dia seronok, apatah lagi, dihidangkan nasi apabila pulang ke rumah, setiap hari. Malah, kebahagiaannya juga atas doa dan sokongan orang ramai.

“Alhamdulillah, doa anda sentiasa ada dan membawa kami ke jenjang pelamin. Terima kasih doakan yang baik-baik.

“Tapi, kami sedang sibuk, nak bercuti pun tak sempat lagi. Kami banyak habiskan masa di Taiping dan bila nak bercuti tiba pula bulan puasa. Insya-Allah, kami rancang bercuti selepas Aidilfitri.

“Ini boleh cakap sebagai rumusan hidup saya, orang boleh buat andaian dan jalan cerita sekalipun, tapi Alhamdulillah semuanya baik-baik. Komen, pandangan dan pendapat orang yang saya temui di Taiping semuanya positif,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkongsian Syafiq dan Mimi berkahwin sebab mahu menyambut Ramadan bersama, Syafiq mengiyakan keterujaan itu.

“Tahun lalu saya berpuasa seorang, malah saya sambut Aidilfitri di Makkah dengan mengerjakan umrah. Mungkin itu adalah doa saya dan emak. Yang baik kita perlu raikan.

“Saya tiada penggambaran pada Ramadan ini. Jadi, kami mahu fokus kepada bisnes saya dan Mimi yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi. Insya-Allah, kami ada juga projek bersama selepas raya,” katanya.

Terdahulu, Mimi dan Syafiq pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun, namun impian menjadi suami isteri tergendala apabila membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos 2023. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *