Bunuh wanita untuk curi barang kemas, namun semuanya palsu

Bunuh wanita untuk curi barang kemas, namun semuanya palsu

27/02/2025:

BANGKOK – Seorang lelaki Thailand ditahan kerana disyaki membunuh seorang wanita dan membuang mayatnya di sawah di wilayah tengah Nakhon Pathom.

Lebih malang, barang kemas dipakai wanita berkenaan turut dicuri, namun disahkan tiruan.

Portal Thaiger melaporkan, seorang nelayan Thailand menemui mayat wanita itu kira-kira jam 10 malam pada 24 Februari lalu.

Mangsa itu kemudian dikenali sebagai Noi, 63, yang dipercayai meninggal dunia akibat dijerut dengan tali pinggang berwarna merah.

Ketika kejadian, Noi memakai seluar pendek denim, kemeja lengan panjang berwarna putih dan anting-anting emas.

Nelayan yang menemui mayat itu mengesyaki pemandu teksi mungkin antara suspek, kerana dia melihat sebuah teksi dipandu berulang-alik berhampiran tempat kejadian.

Beliau dan penduduk tempatan lain berkata, kebanyakan penduduk di kawasan itu menggunakan kenderaan persendirian, menjadikan kehadiran teksi luar biasa.

Polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan itu, tetapi tidak menemui teksi mencurigakan yang dikatakan.

Bagaimanapun, mereka menemui rakaman mangsa membonceng sebuah motosikal bersama seorang lelaki warga Thailand, dikenali sebagai Pairat berusia 59 tahun.

Pegawai menjejaki Pairat dan menemuinya di sebuah kedai emas tempatan dan pemilik kedai memaklumkan barang kemas dibawa oleh Pairat adalah tiruan, tidak boleh menjualnya.

Disebabkan tingkah lakunya yang mencurigakan, polis menahan Pairat di rumahnya semalam, 25 Februari.

Dia mengaku membunuh Noi dan memaklumkan dia menghadapi masalah kewangan serta mahu mendapatkan barang berharga wanita itu.

Pairat mendedahkan Noi adalah kawan kepada isterinya dan pernah meminta mereka membantunya mencari teman lelaki.

Lelaki itu mengumpan Noi ke tempat kejadian dengan berpura-pura dia ingin memperkenalkannya kepada seorang lelaki.

Pairat mendakwa dia pada mulanya cuba memaksa Noi menyerahkan barang kemasnya, namun apabila wanita itu enggan, dia mencekiknya hingga mati dan mencuri dua cincin emas serta seutas rantai emas.

Tanpa diduga, dia kemudiannya mendapati semuanya palsu.

Pairat menegaskan dia bertindak sendirian dan isterinya tidak terlibat.

Namun, pegawai memanggil isterinya untuk disoal siasat.

Saluran 7 melaporkan Pairat sebelum ini ditahan dua kali kerana mencuri di kawasan itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *