23/02/2025:
Oleh Ibnu RushDee
BILA berbicara soal agama, undang-undang syariah atau hukum hakam agama terutama melibatkan dalam pentadbiran negara – ia tidak boleh lari daripada perlunya mendapat sentuhan, pendapat atau pandangan dari pakar yang berkelayakan dan berpengetahuan dalam bidangnya.
Ini kerana semestinya sebagai seorang Muslim, kita tidak mahu akidah serta pedoman kita terjerumus di lembah kehinaan jika tersalah dan terkhilaf dalam menyampaikan ilmu Allah.
Justeru, sebaik pentadbiran baharu Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 21 November 2022, Kabinet MADANI memerlukan seorang tokoh berwibawa untuk menerajui sebuah Kementerian Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.
Tokoh itu mestilah seorang yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan, terutama memiliki moral tinggi yang perlu diangkat menerajui kepimpinan Kabinet MADANI kerana cabaran getir sentiasa wujud dalam sesebuah Negara Majmuk yang mempunyai rakyat berbilang bangsa seperti Malaysia.
Jadi, tidak hairanlah nama Senator Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar diangkat selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama kerana kepakaran serta keperibadiannya dalam usaha mengukuhkan sistem perundangan syariah negara ke tahap terbaik dan disegani.
Pelantikan beliau dalam Kabinet Malaysia sejak lebih dua tahun lalu itu memberi impak positif dari segenap sudut untuk mengimbangi kedudukan Muslim, selaku penganut majoriti negara ini tanpa ada ganggu gugat daripada mana-mana pihak atau anasir luar yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan kekuatan ini.
Sepanjang tempoh itu menerajui portfolio berkenaan, jelas memperlihatkan Dr. Na’im mempunyai banyak ciri-ciri yang boleh diperakui semua pihak, meskipun ada sedikit kelemahan dari segi personaliti beliau yang terlalu ‘berlembut’ dalam menangani sesuatu isu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan mempersalahkan beliau.
Sebagai seorang yang berpegang teguh dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat, beliau tetap dengan pendiriannya menjaga keharmonian sejagat, terutama agama Islam dan akan menentang mereka yang cuba merosakkan keharmonian yang tercipta sekian lama – pendek kata dalam kelembutannya ada juga ketegasannya.
Beliau yang pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Alumni UIAM pada 2021 sentiasa bersikap adil, segala keputusan dibuat dengan penuh tertib serta tidak pernah meninggalkan teraju utama atau Ketua Negara iaitu Majlis Raja Raja (MRR) dalam membuat sebarang tindakan.
Pemilihan Dr. Na’im dalam kabinet negara sememangnya mendapat restu Yang Dipertuan Agong ke-16 ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerana dicerminkan sebagai seorang tokoh berwibawa berikutan sebelum dilantik menteri, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dan terakhir Ketua Hakim Syarie keempat di JKSM dari 26 Mac 2019 hingga 2 Disember 2022.
Keistimewaan Dr. Na’im, beliau tidak pernah bersendirian dalam melancarkan gerakan atau tindakan lanjut yang membabitkan perihal undang-undang Islam kerana rujukan beliau bukan sedikit, pendek kata bukan calang-calang.
Beliau mempunyai pelbagai alternatif dan jalur istimewa bersama tokoh agamawan seluruh dunia, apatah lagi tindakan dibuat dengan penuh teliti kerana sebelum pelaksanaan diputuskan sudah semestinya Yang di-Pertuan Agong dan MRR menjadi tempatnya mendapat pandangan.
Tidak hairanlah mengapa Dr. Na’im menjadi pilihan utama MRR untuk menerajui kementerian berkenan kerana tindak tanduknya dan budi pekerti beliau berhadapan MRR disenangi serta tidak mudah melatah bila diasak luar dan dalam.
Semestinya, negara perlu berbangga kerana memiliki ketokohan Dr. Na’im dalam menerajui Kementerian Hal Ehwal Agama kerana beliau bukan sahaja disegani ilmuwan dalam negara, namun kepakarannya turut disanjung kerajaan luar negara, termasuk dilantik Fasilitator Kursus Khas Latihan Hakim-Hakim bagi Brunei, Maldives dan Bangsa Moro Filipina.
Namun, kemelut serta pertikaian mengenai tuduhan beliau terlalu berlembut dalam membuat keputusan menerusi pelbagai pihak dianggap sebagai cabaran dan pancaroba yang perlu dihakis secara bijaksana.
Bagi dirinya, ia adalah ujian yang ditempuhi dengan baik tanpa ada sebarang gangguan luar biasa.
Tidak mustahil ada pihak yang dilihat agak cemburu dan berhasad dengki dengan kedudukannya sehingga wujud cubaan untuk mengambil alih tempatnya, namun tokoh agamawan ini langsung tidak ambil ‘pusing’ selagi khidmatnya masih diperlukan.
Perkara remeh atau penentangan dari luar tiada masalah buatnya kerana bagi diri beliau menjulang kemaslahatan agama Islam lebih penting daripada melayan karenah atau kerakusan politik murahan.
Tanpa kita sedar, sudah lebih dua tahun beliau terus gah di kerusi Menteri Hal Ehwal Agama dan tidak mustahil MRR akan memastikan ketokohan yang dimiliki Dr. Na’im dalam menerajui kementerian ini terus bertahan sehingga beliau sendiri yang mahu mengundurkan diri.
Oleh itu, usaha songsang pihak luar untuk menamatkan karier Dr. Na’im di pertengahan jalan dianggap sia-sia kerana bagi pepatah orang lama ibarat anjing menyalak bukit – bukit tidak runtuh, tapi yang menyalak akan hilang begitu sahaja.
Dengan kata lain juga, tiada istilah lain yang boleh digambarkan kepada Dr. Na’im, selain menepati pepatah Melayu, ‘ular menyusur akar takkan hilang bisanya’. – ND
Biodata
Nama: Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar
Umur: 58 Tahun
Tarikh Lahir: 25 November 1967
Tempat Lahir: Kampung Baru, Kuala Lumpur
Pasangan: Datin Seri Nik Roslini Raja Ismail
Anak: 3 orang
Jawatan: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Pendidikan: Kolej Islam Sultan Ahmad Shah
Tempat Belajar: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Bidang Pengkhususan: Hakim dan Peguam
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001