23/02/2025:
IPOH – Seorang guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher dan lengan dalam sebuah rumah kedai di Jalan Chung Ah Ming, Taman Hoover di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dilaporkan suaminya pada jam 5 petang.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menjumpai wanita itu dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah di lantai tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen.
“Pemeriksaan pada tubuh wanita itu mendapati terdapat kesan kelar pada leher dan lengan, selain menemui sebilah pisau lipat berhampiran mayat.
“Si mati dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai.
“Siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya.
Menurut Mohamad Sajidan, berdasarkan temu bual dengan suami mangsa, wanita itu dipercayai mengelar leher dan lengan disebabkan tekanan berikutan kesakitan pada mata.
Katanya, kali terakhir suami bertemu wanita itu pada Khamis lalu.
“Wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan mengeluarkan nanah pada matanya 19 Februari lalu.
“Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian wanita itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – AWANI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001