Sesi persekolahan di 11 negeri hari ini berjalan lancar

Sesi persekolahan di 11 negeri hari ini berjalan lancar

17/02/2025:

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan 2025/2026 melibatkan hampir lima juta murid dan pelajar daripada Kumpulan B di semua sekolah di 11 negeri hari ini berjalan dengan lancar dan teratur.

Semalam, sesi sama telah dimulakan awal di Kedah, Terengganu dan Kelantan melibatkan 632,268 pelajar daripada Kumpulan A.

Di PERAK, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata 329,344 pelajar daripada1,105 sekolah melibatkan 141,436 pelajar sekolah menengah dan 187,908 murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 30,532 murid mendaftar di Tahun Satu manakala 32,612 pelajar Tingkatan Satu.

“Sebanyak 18,173 murid prasekolah di 573 institusi prasekolah turut memulakan sesi persekolahan hari ini di seluruh negeri,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack di Kampung Simee, Ipoh pagi ini.

Di JOHOR pula, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin memaklumkan 585,220 pelajar memulakan sesi persekolahan kali ini di 909 sekolah rendah dan 285 sekolah menengah.

“Sebanyak 49,315 guru terlibat untuk sesi persekolahan kali ini. Hari pertama sesi persekolahan hari ini berjalan lancar, pastinya pihak sekolah dan ibu bapa telah melakukan persiapan terbaik,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata secara keseluruhan 87,266 murid sekolah rendah dan 66,547 pelajar sekolah menengah di 318 sekolah terlibat untuk sesi persekolahan ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 13,922 murid mendaftar di Tahun 1 manakala 14,021 pelajar Tingkatan 1.

Di SABAH, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata sesi persekolahan tahun ini melibatkan 52,6370 murid dan pelajar serta 43,763 guru di 1,298 sekolah di seluruh negeri.

“Seperti sebelum ini, seawal minggu pertama tiada sesi pembelajaran dilaksanakan dan minggu ini adalah pengenalan serta penyesuaian, khususnya kepada pelajar baharu.

“Saya melihat pelajar begitu teruja untuk memulakan sesi persekolahan dan berharap mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pendidikan yang diberikan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam, Kota Kinabalu.

DI PULAU PINANG, sebanyak 235,305 murid dan pelajar memulakan persekolahan di 396 sekolah negeri itu dengan 20,192 murid mendaftar bagi Tahun Satu di 269 sekolah manakala 16,814 pelajar di Tingkatan Satu di 127 sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wan Sajiri Wan Hassan berkata bagi sesi kali ini, 100,681 pelajar mendaftar di sekolah menengah manakala 126,608 murid di sekolah rendah dan 8,016 murid prasekolah di seluruh negeri dengan purata setiap kelas mempunyai 30 hingga 35 pelajar.

“Di Pulau Pinang sebenarnya tidak banyak sekolah yang menjalankan sekolah dua sesi dan ada sekolah yang asalnya dua sesi telah kembali kepada satu sesi mulai tahun ini.

“Jadi, tidak banyak sekolah yang padat dan kita harapkan operasi sekolah tidak terhalang dengan isu kepadatan murid,” katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan di SMK Saujana Indah di Nibong Tebal. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *