‘Kita belum mampu tumbangkan Sanusi’, akui pemimpin Umno Kedah

UMNO Kedah akui belum mampu tumbangkan Sanusi

16/02/2025:

PETALING JAYA – Sokongan rakyat Kedah terhadap Barisan Nasional-Pakatan Harapan ketika ini belum mampu untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Sanusi Nor.

Perkara itu diakui Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, walaupun sokongan terhadap partinya dan BN menunjukkan peningkatan termasuk mula mendapat kembali keyakinan ahli selepas kalah teruk dalam pilihan raya lalu.

Katanya, dengan tahap sokongan ketika ini termasuk selepas partinya bekerjasama dengan PH, gabungan itu belum mampu menggugat kerajaan negeri diperintah PAS.

“Sudah ada perubahan (sokongan rakyat dan ahli Umno kembali). Namun, Umno tidak sama sekali selesa dengan perkembangan ini. Sudah tentu ia belum mencukupi untuk menggugat kerajaan negeri (pimpinan Sanusi) yang sedia ada ini.

“Namun, Umno yakin dan optimis ahli boleh memahami dan kembali akur kepada keputusan yang dibuat oleh parti (termasuk bekerjasama dengan PH),” katanya kepada FMT.

Pada 11 Feb lalu, Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata gabungan itu bersama BN sedang mempersiapkan diri sebagai ‘kerajaan menanti’ di Kedah menjelang pilihan raya seterusnya.

Saifuddin berkata demikian selepas dilantik sebagai pengerusi PH Kedah bermula 7 Feb, menggantikan Mahfuz Omar yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2022.

Sementara itu, Shaiful berkata walaupun tidak menyasarkan cita-cita tinggi menawan Kedah, beliau yakin keputusan diperoleh BN pada pilihan raya akan datang lebih baik berbanding PRN lalu.

Katanya, BN yakin kerjasama bersama PH ketika ini akan menjadi semakin matang dan bakal diyakini oleh rakyat Kedah.

“BN akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dan perkhidmatan terbaik, kita tidak akan sama sekali didorong untuk bermain politik jalanan amalan PN,” katanya.

PN membentuk kerajaan Kedah usai PRN lalu apabila menang 33 DUN di mana PAS memperoleh 21 kerusi, Bersatu (11) dan Gerakan (1). Gabungan BN-PH pula hanya mendapat tiga kerusi masing-masing PKR (2) dan DAP (1).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *