Kane boleh kembali ke Liga Perdana Inggeris

Kane boleh kembali ke Liga Perdana Inggeris

MUNICH – Harry Kane boleh kembali ke Liga Perdana Inggeris kerana kontraknya bersama Bayern Munich mempunyai klausa pelepasan.

Kapten England itu boleh mengaktifkan klausa berkenaan yang dimasukkan dalam kontraknya ketika berpindah dari Tottenham Hotspur ke Bayern pada harga 120 juta pound (RM661.03 juta).

Sekiranya diaktifkan pada jendela perpindahan baru-baru ini, yuran perpindahan Kane bernilai 67 juta pound (RM369.08 juta) dan akan jatuh kepada 54 juta pound (RM297.46 juta) pada Januari tahun depan.

Kane meledak dua gol untuk Bayern dalam kemenangan 3-0 ke atas Werder Bremen pada Jumaat dan sudah menjaringkan 21 gol dalam 19 penampilan liga musim ini.

Dia kini sudah menjaringkan 20 atau lebih gol liga dalam satu musim buat kali kelapan sepanjang kariernya, mengatasi rekod Alan Shearer (tujuh) yang sebelum ini tertinggi dalam kalangan pemain Inggeris sepanjang zaman.

Bagaimanapun selepas perlawanan, Kane enggan bercakap tentang kontrak atau masa depannya bersama kelab Bundesliga itu.

“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Apa yang boleh saya katakan ialah saya sangat gembira di FC Bayern,” kata Kane.

Kane mengumpul 213 gol Liga Perdana Inggeris, hanya 47 di belakang rekod sepanjang zaman milik Shearer.

Sekiranya dia kembali bersaing di Liga Perdana Inggeris, Kane akan berpeluang memecahkan rekod berkenaan.

Namun tumpuan utama Kane sekarang ialah memenangi trofi pertamanya bersama Bayern musim ini, sekali gus menamatkan penantian 15 tahunnya untuk bergelar juara.

Bayern kini selesa mendahului Bundesliga untuk menjulang gelaran ke-12 dalam 13 musim, selepas deretan kejuaraan 11 musim berturut-turut terhenti musim lalu di tangan Leverkusen – pada kempen pertama Kane di Jerman. – AGENSI

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *