KUALA LUMPUR – Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam, jelas menghargai usaha keras kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, walaupun titah itu ringkas, tepat, padat dan menyeluruh, baginda telah menyentuh beberapa perkara pokok seperti reformasi parlimen, kedudukan ekonomi, kedaulatan negara dan isu serantau.
“Jelas di sini, dalam titah ucapan itu, baginda menghargai usaha Datuk Seri Anwar yang telah berjaya menarik pelaburan untuk meningkatkan produktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Ini juga sekali gus menunjukkan Kerajaan Perpaduan semakin diyakini pelabur asing, sekali gus membantu menjana pertumbuhan ekonomi domestik melalui suntikan pelaburan asing (FDI).
“Parti Amanah yakin, kerajaan sudah tentu akan memberikan fokus untuk mensejahterakan rakyat, mengawal kos sara hidup, kadar inflasi, merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta mengurangkan bebanan hidup rakyat akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Baginda menyatakan hal itu dalam titah ucapan ketika menyempurnakan istiadat pembukaan mesyuatat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 di sini, semalam.
Menurut Dr. Mujahid, keyakinan terhadap kemampuan kerajaan itu amat penting ketika keadaan geopolitik dunia yang terus galau dan tidak menentu ditambah pula pengumuman Presiden Amerika, Donald Trump mengenai peningkatan tarif ke atas negara China, Kanada dan Mexico membuka perang perdagangan sudah tentu memberi impak kepada banyak negara, termasuk negara kecil seperti Malaysia.
Dalam konteks serantau dan global, katanya, titah Tuanku yang menyentuh peranan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN dan isu peperangan di Gaza jelas menunjukkan harapan tinggi terhadap peranan Malaysia untuk bertindak aktif dan berkesan di peringkat antarabangsa.
“Isu kedaulatan negara yang disentuh Yang di-Pertuan Agong jelas menzahirkan keprihatinan baginda bahawa perkara ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng dan kedaulatan negara digadaikan.
“Saya yakin Kerajaan Perpaduan mengambil cakna atas titah Tuanku ini kerana banyak tuduhan tidak berasas dilemparkan pihak pembangkang kononnya kerajaan tidak mementingkan kedaulatan bangsa, agama dan negara walhal isu seperti Pulau Batu Putih berlaku bukan ketika kerajaan ini memerintah.
“Semua saranan dalam titah ucapan Tuanku amatlah tepat kerana Malaysia dalam era Perpaduan memerlukan semua pihak berganding bahu menjaga keamanan Malaysia dan mengharapkan peranan yang lebih cergas di peringkat serantau dan global,” ujarnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001