Anak muda menolak politik fitnah dibawa Pas – Warda Nasional

Anak muda menolak politik fitnah dibawa Pas – Warda Nasional

KUALA LUMPUR – Wanita Muda Amanah (WARDA) percaya politik sebenar adalah politik nilai yang berlandaskan prinsip Islam iaitu keadilan, kasih sayang, dan kebenaran.

Justeru, sayap parti AMANAH itu menegaskan, politik bukan hanya soal merebut kuasa, tetapi mengenai membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan prinsip yang baik.

“Inilah politik rahmah yang digagaskan Islam selaras dengan pengutusan Rasulullah SAW.

“Malah, AMANAH berpegang teguh kepada prinsip politik rahmah ini dengan tekad untuk mempertahankan kesucian agama Islam dan memperjuangkan ajaran Islam demi memartabatkan negara.

“Di samping kita tegas pada dasar yang jelas dalam Islam, AMANAH juga menitikberatkan pendekatan dakwah dan maqasid syariah untuk melahirkan masyarakat madani yang sejahtera,” kata Timbalan Ketua WARDA Nasional, Siti Nur Aishah Mohd Zain.

Menurut beliau, Islam mengajar umatnya menjaga ketinggian adab dan akhlak mulia seperti ditunjukkan Rasulullah SAW yang digelarkan sebagai Al-Amin, maka AMANAH menolak sekeras-kerasnya budaya politik fitnah, adu domba serta kebencian dalam politik.

Beliau menjelaskan, firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 memberi panduan jelas yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasik membawa suatu berita, maka telitilah (tabayyun) agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”

Rasulullah SAW juga, katanya, berpesan dengan tegas untuk umatnya menjauhi apatah lagi melazimi perbuatan fitnah seperti sabda Baginda: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba). Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim”.

“AMANAH berada di persada politik tanah air untuk berpolitik dengan berusaha memajukan rakyat dengan dasar yang membawa kebaikan. Bahkan, Amanah akan terus mencari solusi untuk membela kebajikan rakyat dan mewujudkan sebuah negara yang sejahtera buat semua rakyat.

 

“WARDA amat kesal apabila Pas masih menggunakan fitnah sebagai alat politik, lebih sibuk menyerang daripada membina. Jika benar mahu menegakkan Islam, mengapa menggunakan cara yang jelas dilarang dalam agama?

“Adakah Pas sudah ketandusan idea dan produk untuk dijual kepada rakyat? Warda percaya bahawa anak muda benci kepada budaya fitnah dan Pas harus berhenti dari politik adu-domba yang tidak berkesudahan, kerana Islam tidak dipandang tinggi apabila kita menghalalkan perbuatan yang ditegah dalam agama dan bertentangan dengan norma manusia,” ujarnya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *