Amanah sambut baik Bajet 2025, anggap suatu yang realistik – Dr. Mujahid

Gencatan Senjata Isyarat Kemenangan Perjuangan Palestin dan Pembebasan Al Aqsa Semakin Hampir

KUALA LUMPUR – Gencatan senjata yang disepakati antara Israel dan Hamas menandakan kemenangan awal perjuangan rakyat Palestin ke atas regim Zionis Israel yang ganas lagi kejam.

Hakikatnya, regim Zionis Israel terpaksa mengalah kepada rakyat Palestin yang menunjukkan keberanian luar biasa mempertahankan maruah bangsa dan tanah airnya, kata Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Katanya, seluruh dunia sedia maklum rakyat Palestin bukan sahaja mempertahankan tanah air mereka daripada dibantai Zionis, tetapi mereka senantiasa di barisan hadapan memenuhi doa umat Islam sedunia untu,k membebaskan masjid Al-Aqsa.

“Di sebalik pembantaian musuh selama 15 bulan berterusan sejak musim sejuk 2023, dunia proZionis Israel mengharapkan Gaza terhapus dari peta dunia sebagai wilayah Palestin, namun perkiraan mereka tersasar apabila rakyat Gaza tetap berdiri teguh memaksa musuh-musuh mereka melaksanakan gencatan senjata selama 42 hari.

“Sebagai rekod, hampir 45,000 rakyat Palestin syahid kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak sejak peristiwa Oktober 2023. Manakala hospital awam menempatkan mereka yang cedera diranapkan termasuk pusat penempatan pelarian UNRWA dan ramai wartawan di lapangan yang terkorban.

“Pembunuhan setiap hari selama 15 bulan sejak 7 Oktober 2023 adalah kesinambungan siri kekejaman Israel sejak peristiwa Naqbah (kebangkitan) pada tahun 1948,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr. Mujahid, rakyat Palestin telah menunjukkan kepada dunia erti ketahanan, jati diri dan kemuliaan maruah ketika dunia memekakkan telinga mereka terhadap penderitaan tragis rakyat Palestin.

Ujar beliau, kemenangan Palestin ialah apabila dunia Barat pada tahap rakyatnya telah membantah kerajaan masing-masing dan turun ke jalan raya melaungkan “Bebas Palestin”, “Dari Sungai ke Lautan, Palestin Bebas”.

Katanya, penuntut universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom telah membuat bantahan berhari-hari di kampus masing-masing mengutuk kekejaman Israel dan menuntut Palestin dibebaskan.

“Desakan rakyat di dunia Barat dan solidariti mereka bersama Palestin adalah anjakan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin dan satu isyarat kemenangan besar yang bakal dicapai oleh perjuangan rakyat Palestin.

“Di peringkat negara-negara Selatan seperti Brazil dan Venezuela telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai bantahan kepada genosid yang dilakukan regim Zionis Israel.

“Ireland turut menghalau Duta Israel di sana dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Ini satu kemenangan besar rakyat Palestin dan pukulan hebat kepada Israel di arena antarabangsa,” katanya.

Kata beliau lagi, kekalahan Israel sangat jelas dari sudut moral dan maruahnya, bahkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant telah diisytiharkan sebagai penjenayah perang atas kesalahan genosid yang diputuskan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan waran tangkap telah dikeluarkan.

Israel juga, katanya, bergolak dengan krisis dalaman yang tegang menuntut Netanyahu bertanggungjawab terhadap tahanan Israel yang berada dalam simpanan Hamas.

Jelas beliau, Amerika sebagai sekutu dan penaung Israel mengalami ketidakstabilan dalaman dengan kemunculan bakal Presiden Donald Trump yang memberi amaran akan menjadikan Palestin sebagai neraka di dunia. Namun, kebakaran besar di Los Angeles, California telah dibalas tunai oleh Allah, menyebabkan Los Angeles yang menjadi neraka dunia.

Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa suara penderitaan dan perjuangan rakyat Palestin di seluruh dunia termasuk di pentas Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) dan melobi supaya Israel dikeluarkan dari PBB atas jenayah perang yang dilakukan ke atas Gaza.

Anwar juga telah menyuarakan peranan Malaysia untuk membangunkan Palestin dan mendesak bantuan kemanusiaan diberi laluan untuk membantu mangsa peperangan.

Amanah turut melahirkan rasa bersyukur dengan perkembangan gencatan senjata Israel-Hamas dan menyeru semua pihak mengambil kesempatan untuk bersiap sedia membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Palestin. Pihak NGO di Malaysia hanya menunggu masa untuk masuk melalui laluan bantuan kemanusiaan dengan adanya gencatan senjata ini.

“Marilah kita semua menyakini bahawa pembebasan dan kemerdekaan mutlak Palestin beserta dengan Masjidil Aqsa satu peluang untuk mengembalikan keamanan di dunia ini dan untuk seluruh manusia sejagat.

“Saya akhiri dengan memetik maksud firman Allah di dalam al-Quran: “Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai                          pasukannya” (Al Isra: 6),” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *