NEW DELHI – Bintang terkenal Bollywood, Saif Ali Khan, 54, menerima rawatan akibat enam kecederaan tikaman selepas berlaku pergelutan dengan seorang penceroboh di kediamannya di Mumbai pada awal pagi tadi.
Khan menetap di sebuah apartmen di kawasan pinggir bandar barat Bandra, lokasi yang menjadi kediaman ramai individu dalam industri perfileman, bersama isterinya, Kareena Kapoor, yang juga seorang pelakon, serta dua anak mereka, Jeh dan Taimur.
Beliau dibawa ke sebuah hospital berdekatan sekitar jam 3.30 pagi dengan enam kecederaan, dua daripadanya lebih dalam, menurut laporan akhbar Hindustan Times, memetik kenyataan Ketua Pegawai Operasi hospital itu, Niraj Uttamani.
“Salah satu kecederaan dekat dengan tulang belakang… Kami hanya dapat menentukan tahap kecederaan selepas pembedahan dijalankan,” kata pegawai itu seperti dilaporkan.
Polis memaklumkan penyerang melarikan diri selepas kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan, dengan pasukan polis giat memburu suspek.
Khan, anak kepada bekas kapten pasukan kriket India, Mansur Ali Khan Pataudi dan pelakon terkenal, Sharmila Tagore adalah salah seorang bintang paling berpengaruh di India, dengan lebih 70 filem dan siri televisyen di bawah portfolionya, termasuk sebagai penerbit.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252