Titah Adendum: Ahli UMNO diminta tak buat sebarang spekulasi

Titah Adendum: Ahli UMNO diminta tak buat sebarang spekulasi

KUALA LUMPUR – Ahli UMNO digesa untuk tidak membuat sebarang spekulasi membabitkan Titah Adendum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia dibimbangkan akan menimbulkan subjudis.

“Kalau Mahkamah Rayuan sudah buat keputusan bahawa perlulah Mahkamah Tinggi dipulangkan semula mengenai tentang isu titah itu, saya nak minta semua daripada parti untuk serahkan semula kepada Mahkamah Tinggi.

“Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi tetapkan tarikh perbicaraan dan saya minta kita semua tak payah buat spekulasi kerana sekarang ini mahkamah memainkan peranan untuk membuat penentuan.

“Kita pun tak nak isu subjudis. Maknanya bila dah jadi kes mahkamah banyak komen-komen saya rasa pun tak adil bagi semua pihak,” katanya seperti dilaporkan UMNO Online.

Terdahulu, media melaporkan Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman berkenaan diputuskan.

Azalina berkata perkara terpenting ialah kewujudan Adendum yang sudah terbukti dan akan melalui proses seterusnya di Mahkamah Tinggi.

“Yang sangat penting ialah berkenaan dengan elemen Mahkamah Rayuan mengatakan memang wujud.

“Ini tak ada isu dengan kesahan, ini hanya isu mengenai kewujudan. Kesahan ialah isu lain iaitu isu undang-undang tapi ini adalah isu kewujudan dan semua pihak yang terbabt dalam proses ini saya percaya akan dipanggil oleh mahkamah.

“Jadi, saya nak minta ahli parti kita biarlah mahkamah membuat keputusan setelah semua fakta diterima oleh mahkamah daripada semua pihak,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *