PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, sebahagian derma yang didakwa diterima daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah berjumlah AS$620 juta dipulangkan semula kerana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudah berakhir.
Najib yang membela diri terhadap tuduhan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata, beliau tidak memerlukan jumlah wang yang besar dalam akaun peribadinya kerana ia boleh menimbulkan pelbagai tafsiran.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak memaklumkan secara peribadi kepada Almarhum Raja Abdullah mengenai pemulangan semula derma berkenaan.
Katanya, ia juga tidak dimaklumkan kepada kerabat diraja Arab Saudi, Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud, yang mana namanya tertera pada kepala surat derma yang dialamatkan kepada Najib di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.
Sebaliknya, Najib berkata, beliau menulis surat kepada AmBank menyatakan hasratnya untuk memulangkan baki derma itu kepada syarikat yang mendepositkan dana berkenaan ke dalam akaun bank peribadinya, iaitu Tanore Corporation Finance.
Bagi kes pendakwaan, Tanore Finance adalah syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.
Najib dalam keterangan sebelum ini berkata, melalui pertemuan pada 2010, Almarhum Raja Abdullah menjanjikan sokongan kewangan kepadanya melalui empat surat derma Arab yang dikeluarkan antara 1 Februari 2011 hingga 1 Jun 2014 berjumlah AS$100 juta, AS$375 juta, AS800 juta dan £50 juta.
Kamal Baharin: Bila Datuk Seri pulangkan wang ini, adakah maklumkan kepada Tanore?
Najib: Secara rasmi tidak tetapi melalui dokumen bank.
Kamal Baharin: Datuk Seri katakan wang ini derma daripada Raja Abdullah. Adakah Datuk Seri maklumkan kepada Almarhum?
Najib: Melalui sistem mereka, tetapi tidak secara peribadi.
Kamal Baharin: Dalam sistem kepada Tanore, Saud tiada dalam sistem.
Najib: saya beranggapan Tanore ini datang daripada mereka.
Kamal Baharin: Saya cadangkan, Datuk Seri tidak memaklumkan kepada Raja Abdullah kerana Datuk Seri tahu wang itu bukannya daripada Raja Abdullah.
Pada September 2023, Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, memberitahu mahkamah, Tanore Finance memindahkan sejumlah AS$681 juta (RM2.081 bilion) ke dalam akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib.
Dana itu sebahagian daripada terbitan bon 1MDB keseluruhannya berjumlah AS$3 bilion yang sepatutnya dilaburkan bagi usaha sama 1MDB dengan Aabar Investment PJS yang dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).
Pada hari sama, Tanore Finance menerima AS$640 juta iaitu 21 Mac 2013, ia mengarahkan Falcon Bank memindahkan AS$681 juta ke nombor akaun 211-202-200969-4 di bawah nama ‘AmPrivate Banking–MR’ di AmIslamic Bank secepat mungkin.
Susulan itu, wang berjumlah AS$620 juta dipindahkan serta-merta pada hari yang sama.
Pada22 Mac 2013, AmIslamic menerima arahan daripada Tanore Finance untuk memindahkan AS$620 juta untuk dikreditkan kepada akaun AmPrivate Banking – MR, susulan itu ia mengkreditkan sejumlah RM1.89 bilion ke dalam akaun berkenaan.
Bon itu dimasukkan ke dalam akaun anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Global Investment Limited (1GIL) dan dana dipindahkan melalui syarikat pelaburan, Devonshire Capital Growth Fund dan Granton Property Holding Ltd kepada Tanore, dan akhirnya AS$620 juta daripada Tanore diamasukkan ke akaun AmPrivate Banking- MR yang berlaku dalam tempoh atau lebih kurang dalam hari sama.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001