KUALA LUMPUR – “Janganlah buat wajah kami begini sehingga menyusahkan untuk mencari rezeki,” kata pereka fesyen, Razmi apabila dia dan rakannya, Razman cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.
Razmi berkata, meskipun ramai beranggapan mereka tidak membayar hutang sehingga dicederakan oleh jurugambar, namun mereka tidak pernah lari daripada hutang.
“Semua ingat kami berhutang dengan dia. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya jual kereta peribadi dan bersetuju untuk bayar secara ansuran sebelum saya menyerahkan kereta berkenaan.
“Namun, dia tinggalkan kereta di tepi jalan begitu sahaja selepas menggunakan beberapa minggu dan rosakkan kereta berkenaan dan minta wangnya dikembalikan.
“Saya beritahu Razman yang kami bersetuju untuk bayar sedikit demi sedikit. Maklum sahajalah PKP mana nak ada perniagaan. Selepas itu, barulah kami dapat bayar, tapi tiba-tiba Razman terkena serangan jantung.
“Walaupun begitu, kami tetap bekerja dan tak pernah bercakap kasar atau menipu orang. Saya tak pernah lari daripada sesiapa. Jika ada hutang tetap kena bayar,” katanya dalam satu perkongsian video dalam Instagram Story (IGs).
Menurut Razmi, dia sudah memaklumkan kepada jurugambar untuk membayar keseluruhan hutang pada bulan ini, namun tidak menyangka mereka diserang.
“Saya ada bertemunya tiga minggu lepas dalam satu acara. Saya hulur bayaran sedikit dan beritahu akan selesaikan semua hutang, bulan ini.
“Kalau ikut hati saya tidak mahu sebab dia kurang ajar sebab setiap kali jumpa akan ugut, tengking dan malukan kami.
“Saya beritahu Razman untuk bersabar sebab kita datang untuk mencari rezeki. Kita bukan kaya macam pereka fesyen lain. Kita sederhana sahaja.
“Semalam selepas saya siapkan Datuk Seri Vida, tiba-tiba Razman dipukul dan saya pun sama dipukul. Kalau ketika itu Razman terkena serangan jantung dan tiba-tiba meninggal dunia macam mana?” katanya.
Sebelum ini, dalam satu temubual media, Razmi mengaku ada berhutang sejumlah RM20,000 berkaitan penjualan kereta sekitar 2019.
Razmi dan Razman kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damansara dan jurugambar berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.
Sebelum ini, dalam kejadian jam 8.40 malam, Razman dan Razmi dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Kedua-duanya mengalami luka di pipi kemudiannya diberi rawatan kecemasan, sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001