PETALING JAYA – Bersatu belum membuat perbincangan rasmi berhubung himpunan solidariti untuk Najib Razak pada 6 Jan, namun berpegang dengan semangat “Perdamaian Nasional”, kata seorang pemimpin tinggi.
Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz, berkata tidak ada sebarang halangan jika pemimpin dan ahli Bersatu ingin hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari himpunan tersebut.
Pada 6 Jan merupakan hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas perdana menteri, Najib Razak, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu.
“(Ini) di atas prinsip menjunjung Perlembagaan Persekutuan, mentaati Yang di-Pertuan Agong, dan berpegang dengan semangat ‘Perdamaian Nasional’,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan PAS akan mengadakan perhimpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’.
Pada Jumaat lalu, menurut surat dikeluarkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan kepada pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti, perhimpunan itu akan diadakan mulai 9 pagi.
Beliau berkata, himpunan itu diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri itu dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah addendum Agong.
Dalam pada itu, Tun Faisal berkata di atas prinsip undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, Bersatu berpandangan proses mahkamah wajib berjalan telus dan adil.
Awal hari ini, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin, berkata beliau mungkin akan menghadiri himpunan tersebut bersama pemimpin Bersatu lain.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252