SpaceX mahu lancar lebih banyak misi angkasawan swasta ke ISS

SpaceX mahu lancar lebih banyak misi angkasawan swasta ke ISS

WASHINGTON – Syarikat aeroangkasa SpaceX milik Elon Musk merancang untuk menghantar kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan kerjasama sebuah syarikat pemula yang berpangkalan di California.

Misi itu bagaimanapun bergantung kepada kelulusan NASA dan ia membabitkan firma Vast, yang turut merancang untuk melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia seawal tahun depan.

“Mencapai misi muatan serta kru ke ISS adalah bahagian penting dalam strategi Vast dan ia membolehkan kami memperkukuhkan kerjasama dengan NASA dan agensi angkasa global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Vast, Max Haot, dalam satu kenyataan.

Namun, beliau tidak memberikan garis masa perancangan itu.

SpaceX sebelum ini sudah melaksanakan tiga misi swasta ke makmal orbit dengan Axiom Space dan sedang bersiap untuk misi keempat.

Mereka juga bekerjasama dengan Polaris, sebuah projek yang diterajui oleh jutawan Jared Isaacman, untuk dua perjalanan orbit, yang salah satu daripadanya membabitkan aktiviti pertama berjalan di angkasa oleh angkasawan bukan profesional.

Isaacman dicalonkan oleh Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai pentadbir NASA yang seterusnya dan ia dilihat sebagai peningkatan era kerjasama awam-swasta yang semakin berkembang dalam penjelajahan angkasa.

“Saya teruja untuk bekerjasama dengan Vast ketika mereka membangunkan lebih banyak peluang dan destinasi untuk lebih ramai orang meneroka bintang-bintang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SpaceX, Gwynne Shotwell.

Misi seumpamanya dilihat sebagai inisiatif bagi memenuhi keperluan individu kaya dan kerajaan negara maju. Misi terakhir Axiom membabitkan angkasawan dari Itali, Sweden dan Turkiye.

Vast, yang ditubuhkan pada 2021, menyatakan mereka sedang giat berbincang dengan beberapa kerajaan, termasuk Republik Czech, mengenai misi angkasa pada masa depan.

Dengan ISS dijadualkan untuk dinyahaktifkan pada 2030, Vast adalah antara beberapa syarikat yang bersaing untuk membina dan melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia.

Syarikat itu merancang untuk melancarkan stesen mini, Haven-1, pada 2025, diikuti oleh Haven-2, sebuah stesen lebih besar yang direka untuk menggantikan ISS sepenuhnya.

“Cita-cita jangka panjang Vast adalah untuk mencipta habitat graviti buatan yang membolehkan manusia hidup di angkasa,” kata syarikat itu.

Pesaing lain untuk stesen angkasa komersial pertama termasuk Axiom Space, Voyager Space dengan kerjasama Airbus dan Blue Origin dengan kerjasama Sierra Space. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *