PUTRAJAYA – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada semua pihak kerana kesalahan merokok di tempat larangan.
Beliau juga menegaskan akan membayar kompaun dikenakan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.
“Pagi tadi saya sudah menerima kedatangan pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Seremban dan menyerahkan notis berkenaan.
“Jika ia menjadi kerisauan dan isu kepada masyarakat, saya dengan ikhlas memohon maaf dan saya akan bayar kompaun yang akan dikenakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan, di sini, hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi platform media sosial X, hari ini, memaklumkan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban diberi kuasa untuk berjumpa dan menyerahkan notis kesalahan kepada Mohamad.
Dzulkefly berkata, pejabat Menteri Luar sudah dimaklumkan mengenai perkara terbabit.
Ditanya berapa jumlah kompaun dikenakan, Mohamad berkata, nilainya belum ditentukan dan beliau menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara.
“Saya menerima notis terbabit dan notis ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan kompaun,” katanya.
Dzulkefly sebelum itu mengulas gambar yang dimuat naik di sebuah akaun X memaparkan individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.
Menurut akaun terbabit, Timbalan Presiden Umno itu didakwa merokok di sebuah kedai makan dan ia turut memaparkan poster mengenai 28 tempat larangan merokok oleh KKM.
Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berkenaan tarikh dan masa perbuatan itu dilakukan selain nama restoran juga tidak didedahkan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252