LONDON – Mike Tyson disaman di mahkamah London hampir 1.5 juta euro (RM7 juta) kerana didakwa melanggar perjanjian untuk mempromosikan syarikat perjudian sebelum bertarung dengan pempengaruh dan peninju Jake Paul.
Medier, syarikat berdaftar di Cyprus yang mempromosikan kasino dalam talian dan syarikat pertaruhan Rabona, menyaman bekas juara heavyweight itu dan syarikatnya Tyrannic kerana didakwa mengingkari perjanjian itu, yang dipersetujui pada Januari lalu.
Tuntutan itu, yang difailkan di Mahkamah Tinggi London pada Oktober lalu, menyatakan Tyson menamatkan perjanjian itu pada Mac – pada hari sama pertembungannya dengan Paul diumumkan – kerana Medier melanggar perjanjian mereka.
Peguam Medier, bagaimanapun berhujah tindakannya tidak melanggar perjanjian dan pelanggaran kontrak Tyson menyebabkan kerugian Medier sekitar 1.46 juta euro (RM6.8 juta).
“Alasan sebenar Tyson dan Tyrannic diberhentikan secara tergesa-gesa dan menyalahi undang-undang adalah kerana Tyson bersetuju dengan perjanjian, yang ditaja oleh Netflix, untuk menentang pempengaruh Jake Paul,” kata peguam syarikat itu dalam dokumen yang didedahkan semalam.
Tyson dan Tyrannic masih belum memfailkan pembelaan terhadap tuntutan mahkamah itu.
Paul, 27, menewaskan Tyson yang berusia 58 tahun dengan keputusan sebulat suara di Texas bulan lalu, dalam pertarungan yang disiarkan secara penstriman langsung di Netflix. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252