KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia mengesa kerajaan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) bagi memperjuangkan kebebasan media yang lebih komprehensif.
Gesaan itu tercetus dalam Persidangan Tergempar Perwakilan Dwi-Tahunan (EDC) kesatuan itu buat kali ke-24 yang melakar sejarah apabila perwakilan sebulat suara meluluskan usul mendesak kerajaan meminda akta berkenaan.
Setiausaha Agung NUJ Semenanjung Malaysia, Teh Athira Mohamed Yusof berkata, usul berkenaan mencerminkan komitmen dan pendirian kesatuan sejak 90-an untuk memperjuangkan kebebasan media yang lebih inklusif dan bersesuaian dengan era digital.
Katanya, mesyuarat juga meluluskan usul untuk mengadakan kempen mengumpul dana bagi membantu wartawan Palestin yang terkesan akibat penjajahan di negara berkenaan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen NUJ untuk menyokong rakan sejawat di Palestin yang menghadapi cabaran getir termasuk risiko keselamatan, tekanan psikologi, dan kekurangan sumber akibat konflik berterusan.
“Usul ini turut selari dengan amalan global yang dilaksanakan oleh organisasi seperti International Federation of Journalists (IFJ), yang giat menyokong hak dan kebajikan wartawan di kawasan konflik,” katanya.
Teh Athira berkata, NUJ percaya bahawa wartawan di Palestin memainkan peranan penting dalam memastikan dunia mendapat laporan yang tepat dan berani mengenai situasi sebenar di lapangan.
Oleh itu, katanya bantuan kewangan ini diharap dapat meringankan beban mereka dan menyokong usaha mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan.
“NUJ akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan wartawan antarabangsa, untuk memastikan dana yang dikumpul disalurkan dengan cara yang telus dan berkesan.
“NUJ juga menyeru organisasi media, ahli kesatuan, dan masyarakat umum untuk turut serta dalam usaha ini sebagai tanda solidariti kepada wartawan Palestin yang berdepan cabaran luar biasa demi melaporkan kebenaran,” katanya.
Katanya, NUJM komited untuk menjadi suara yang lantang dan berkesan dalam memperjuangkan hak wartawan, memupuk profesionalisme, dan memastikan kebebasan media yang berkualiti demi kepentingan masyarakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252