GUA MUSANG – Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 ditutup kepada semua kenderaan bermula 10 malam tadi, susulan tanah runtuh.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, penutupan itu kerana dibimbangi akan berlaku pergerakan air bawah tanah.
Katanya, ia juga untuk membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan pemantauan dan penilaian sehingga notis lanjut.
“Buat sementara ini, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Jelawang-Sungai Sam untuk ke Gua Musang,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan laporan, beliau berkata, pergerakan tanah di kawasan itu mula dikesan pada 10 pagi namun tiada laluan yang ditutup daripada kenderaan.
Katanya, pemantauan susulan bagaimanapun mendapati keadaan berisiko dan tindakan diambil dengan meletakkan papan tanda amaran dan penghadang.
“Panjang kawasan yang terlibat adalah 15m dan pemantauan berterusan dilakukan oleh anggota penyelamat dan JKR,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252