BERITA UTAMA
Polis selamatkan remaja perempuan diculik sekumpulan individu

Polis selamatkan remaja perempuan diculik sekumpulan individu

SHAH ALAM – Polis berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai diculik sekumpulan individu di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, di sini pada 18 November lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian pada 16 November, mangsa yang masih tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat petang telah dihubungi bapanya untuk balik ke kediaman mereka di Taman Kem, Pelabuhan Klang.

Namun, katanya, bapa mangsa telah menerima pesanan suara daripada nombor telefon milik anaknya itu yang mengelirukan mengenai kedudukan mangsa sebelum bertindak melaporkan kejadian itu kerana risau dengan keselamatan anaknya.

“Pesanan suara yang diterima meminta pengadu (bapa) mengambil mangsa di kawasan Subang dalam keadaan sedang bertengkar dengan seorang lelaki (suspek) serta menghantar lokasi kedudukan mangsa.

“Pengadu telah ke lokasi terbabit dan mendapati mangsa tiada di kawasan itu. Seterusnya, pengadu menerima pesanan dalam aplikasi WhatsApp menyatakan suspek akan lepaskan mangsa di kawasan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek turut bertindak mengugut bapa mangsa dengan mengatakan anaknya akan dijual dan meminta bayaran ganti rugi jika hendak anaknya dipulangkan apabila bapa mangsa mengatakan akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Cha berkata, bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 7 pada jam 11 malam 18 November dan menemukan mangsa dalam keadaan selamat serta turut menahan tiga suspek lelaki dan dua perempuan berumur antara 15 hingga 19 tahun.

“Melalui tangkapan pertama, polis menahan dua lagi lelaki berumur lingkungan 16 dan 18 tahun di pekarangan sebuah pusat-beli belah di Kuala Lumpur kira-kira jam 1.10 pagi pada 19 November,” katanya dan menambah kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Beliau berkata, empat suspek berumur 18 tahun ke bawah direman sehari, manakala suspek lain direman empat hari hingga 22 November lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *