MARAN – Dua anggota polis parah dalam kemalangan membabitkan kereta peronda dengan pacuan empat roda di Kilometer 74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan jam 3.25 pagi itu membabitkan kenderaan polis jenis Honda City dengan sebuah kenderaan awam jenis Toyota Hilux.
Katanya, mangsa, Koperal Mohd Razif Hamzah, 38, jurugambar Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Maran yang memandu cedera parah pada bahagian tangan kiri dan dirawat di Hospital Temerloh.
Menurutnya, penumpang, Sarjan Mohd Azzuhair Hafifi Azman, 29, iaitu Penolong Pegawai Penyiasat BSPTD Maran pula cedera pada dada dan kepala serta turut dirawat di Hospital Temerloh.
Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux, Mohd Johan Che Par, 48, dari Kampung Baru Sungai Chedong, Maran mengalami kecederaan di bahagian dada dan turut dirawat di Hospital Temerloh.
Katanya, akibat kemalangan itu, kenderaan polis rosak di bahagian hadapan dan sisi kiri manakala Toyota Hilux rosak di bahagian hadapan.
“Kemalangan berlaku apabila kenderaan peronda polis yang dalam perjalanan dari Balai Polis Maran ke Jengka 19 untuk menyiasat satu kes kemalangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Toyota Hilux dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke laluan kenderaan polis serta berlanggar secara berdepan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu Toyota Hilux.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252