TANJUNG MALIM – Graduan yang menyertai perkhidmatan perguruan bukan sahaja berperanan mendidik generasi muda, malah perlu mendedahkan mereka dengan realiti kehidupan sebenar.
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah kehidupan sebenar bukan cerita dongeng, tetapi mengandungi kisah suka duka, kegagalan, kejayaan, kekurangan, kelebihan, kelemahan mahupun kekuatan.
“Dunia ini diindahkan dengan wujudnya kepelbagaian. Allah SWT mencipta pelbagai warna, pohon, buah-buahan dan makhluk di alam ini, malah mencipta insan pelbagai rupa, bentuk badan dan bakat.
“Urusan dunia menjadi celaru jika kesemua insan mempunyai satu bakat, malah sebuah universiti juga dapat berfungsi melalui kombinasi peranan pelbagai pihak melalui jaringan kerja tenaga akademik, pengurusan, graduan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-26 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini, hari ini
Seramai 7,172 graduan bakal menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (Phd) pada majlis konvokesyen itu bermula hari ini hingga 30 November ini.
Pada istiadat berkenaan, komposer terkenal tanah air, Datuk M Nasir akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan, manakala Datuk Nash menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Turut hadir, Pro Canselor Profesor Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Tan Sri Dr Ismail Bakar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Rohani Abdullah serta Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.
Tuanku Zara bertitah, kejayaan graduan memperoleh ijazah adalah hasil semangat kesungguhan, kegigihan, ketabahan dan kerajinan menyelami lautan ilmu melalui bimbingan tenaga pengajar yang tekun serta ikhlas.
Titahnya, ahli keluarga terutama ibu bapa memainkan peranan penting terhadap pencapaian graduan tanpa putus asa dengan mendoakan kejayaan mereka.
“Guru yang bijaksana akan menjadi pendidik yang memahami dan mengambil tanggungjawab untuk memahamkan anak didiknya realiti kehidupan sebenar dan membantu mengembang potensi sebenar,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252