PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan usaha mencapai standard global yang telah termeterai dalam kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, iaitu dengan memberi tumpuan kepada enam bidang utama, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Beliau berkata, fokus berkenaan merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital, agenda Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), intervensi kurikulum, penyelarasan prasekolah dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ia antara lain bertujuan merancang inisiatif bagi menangani isu keciciran murid dalam pembelajaran, mempromosikan dan memupuk minat murid dalam bidang STEM, terutama pada peringkat sekolah melalui program dan aktiviti anjuran KPM dan agensi luar, serta mengupayakan keterampilan berbahasa murid sehingga fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan yakin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas baru-baru ini, yang antara lain menyentuh mengenai signifikan dan kejayaan PPPM serta reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Mengambil contoh kluster intervensi kurikulum, Azman berkata, sebanyak 122,062 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2024/2025 sedang mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) selama tiga bulan bermula Julai lepas.
Bagi kluster pendidikan digital, beliau berkata, 99.9 peratus sekolah mempunyai rakan strategik pendidikan digital dan 86.5 peratus sekolah dilengkapi dengan peranti pengajaran dan pembelajaran di makmal komputer sekolah.
“Bagi STEM, KPM akan mempromosikan dan memupuk minat murid dalam bidang itu terutama pada peringkat sekolah melalui program dan aktiviti anjuran kementerian serta agensi luar,” kata Azman. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252