KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Negeri Sabah menahan 197 pendatang tanpa izin dalam operasi di dua lokasi rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di Menggatal dan Tuaran pada awal pagi ini, kata Pengarah berkenaan Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff.
Sh Sitti Saleha berkata pendatang tanpa izin yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen itu terdiri daripada 195 warga Filipina dan dua warga Indonesia dalam operasi yang bermula 12 tengah malam tadi dan berakhir 5 pagi ini.
Beliau berkata operasi itu dilaksanakan dengan kekuatan 53 orang pegawai daripada Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini dan mereka ini ditahan dipercayai melakukan kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, Seksyen 6 (1) (c) dan tinggal lebih masa, Seksyen 15 (1) (c).
“Semasa serbuan, terdapat beberapa warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak samun.
“Keadaan jalan berbukit dan curam ditambah dengan pelbagai helah cuba dilakukan mereka bagi menyukarkan pergerakan pasukan operasi serta memberi risiko keselamatan, termasuk berlaku pergelutan dengan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seterusnya beliau berkata operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Jabatan Imigresen mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pendatang tanpa izin atau sebarang maklumat yang boleh membantu Jabatan Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan, supaya tampil menyalurkan maklumat,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252