LEGENDA badminton China, Lin Dan, melancarkan kejohanan berbayar (semua ditanggung) yang dipanggil Terbuka Badminton Antarabangsa Piala Raja kepada 20 pemain perseorangan lelaki terbaik dunia dengan hadiah paling lumayan.
Juara dunia lima kali itu pernah menganjurkan Piala Lin Dan pada September lalu tetapi edisi terbaharu yang dijadualkan di Shenzhen, China itu bakal diadakan secara eksklusif.
Lebih menarik, pertandingan tersebut menawarkan penanggungan, termasuk perjalanan ke lokasi serta penginapan buat semua peserta terlibat.
“Kami akan memberikan mereka tiket kelas perniagaan apabila mereka terbang ke Shenzhen untuk kejohanan ini,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu, yang turut menjelaskan pemain akan memanaskan badan dan berlatih di kemudahan berkelas dunia miliknya dan isterinya, Xie Xingfang.
Pemenang akan menerima wang tunai sebanyak RMB1.1 juta (RM679,004.52), yang mengatasi angka ditawarkan kejohanan lain.
“Jumlah itu sebenarnya melebihi hadiah yang diberikan oleh semua kejohanan dalam Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Peranan saya telah berubah daripada atlet kepada penganjur dan saya berharap semua pemain profesional dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Dapatkan hadiah wang yang lebih tinggi berdasarkan kemampuan anda,” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik dua kali itu.”
Kejohanan itu berkemungkinan akan dianjurkan pada tahun depan.
Seorang pemain yang ingin dijemput Lin Dan ialah bekas juara dunia dari Jepun, Kento Momota.
“Saya tidak sabar untuk menjemput Momota menyertai kejohanan ini tahun depan.
“Kerana ini adalah Piala Raja, dalam hati saya, dia adalah seorang raja!”
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252