Oleh Rudy Sham Ab Raof dan Amiera Baharuddin
Foto Armi Azeedeen Mazlan
TIKA menerima Whatsapp daripada Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, penulis merasakan diri sungguh bertuah kerana bukan senang mendapatkan waktu bertentang mata, apatah lagi mengambil masa lama untuk menemuramah beliau.
Sebaik sahaja berdepan dengan tenaga penting USIM ini, tiba-tiba perasaan dan fikiran penulis terngiang-ngiang alunan suara pelantun lagu Warisan Wanita Terakhir iaitu Maman dari grup Teacher’s Pet selepas perbicaraan bermula mengenai episod yang dilalui beliau mengenai tugas dan keluarga terutama suami serta anak-anak tercinta.
Memulakan perbicaraan ketika melangkah masuk ke pejabat Dr. Nik Salida di tingkat lima Bangunan Canselori USIM, kami dijemput dengan penuh ramah dan ceria yang jelas terpancar di wajahnya meskipun agak keletihan selepas pulang dari Kaherah, Mesir.
“Maafkan saya kerana awak semua menunggu agak lama respon saya (tarikh menemuramah). Banyak tugas yang diamanahkan kepada saya. Apa boleh buat, saya perlu tunaikan tanggungjawab ini. Apa khabar?,” tanya beliau kepada kami dengan penuh santun.
Secara umum, Dr. Nik Salida dilahirkan di Pasir Puteh, Kelantan dan mula mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2000 dan Ijazah Sarjana (Undang-Undang Perbandingan) pada 2001 dari universiti sama.
Kemudian, beliau menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Keele, United Kingdom.
Memulakan tugas sebagai Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM, Dr. Nik Salida diberi peranan selaku Timbalan Pengarah Pusat Permata Insan universiti berkenaan serta Ketua Kluster dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa Sedunia (INFAD) dan Dekan FSU sebelum dilantik Timbalan Naib Canselor berkuatkuasa 12 Ogos lalu sekaligus menjadi wanita pertama memegang jawatan berkenaan.
Beliau juga begitu aktif dalam bidang penulisan dan antara buku tulisannya ialah ‘Soal Jawab Remeh Temeh Tentang Islam….Tetapi Anda Malu Bertanya’ terbitan Telaga Biru dan hampir setiap minggu karya beliau tersiar dalam akhbar arus perdana Berita Harian serta Utusan Malaysia.
Bukan sahaja tekun dalam akademik, wajah Dr. Nik Salida turut muncul dalam rancangan keagamaan seperti Tanyalah Ustazah TV9, Forum Perdana Ehwal Islam TV1, Soal Wanita TV Al-Hijrah, Al Hidayah dan Al-Kulliyyah TV3.
Agak membanggakan beliau turut diberi tanggungjawab besar selaku Ahli Lembaga Pengarah TV Al Hijrah, Ahli Majlis Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) dan terbaru sebagai Ahli Lembaga Pengarah Usim Education & Skills Development Sdn Bhd (Usim Education) anak syarikat berteraskan pendidikan milik penuh USIM.
Pelbagai anugerah dan pengiktirafan didakapnya, termasuk Anugerah Tokoh Akademik (Hasanul Mudir) USIM pada 2020 selain turut diberi kepercayaan selaku penceramah di peringkat antarabangsa, termasuk di Universiti Oxford dan Universiti Manchester, United Kingdom.
Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Ahli Lembaga Penasihat Pusat Latihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Melihat kepada kesibukan masa dengan tugasan rasmi dalam dan luar negara, Dr Nik Salida ditanya bagaimana beliau boleh membahagikan masa bersama keluarga, beliau kelihatan terdiam seketika – mungkin kerana kerinduan melampau – kerana baginya keluarga adalah segala-galanya.
Baginya, suami beliau, Mohd Najib Abas terlalu baik dan pengorbanan beliau dalam mengharungi liku-liku kehidupan bersamanya tidak akan dilupakan apatah lagi sejak dikenali sebagai penuntut UIAM.
“Kami kenal ketika di UIAM kerana mengikuti bidang yang sama. Disebabkan sikap saya yang ‘introvert’ (pemalu dan tidak suka menjadi perhatian), saya agak kekok apabila bertemu ramai orang. Ramai yang ingin ’mengenali’ saya, namun pesanan ibubapa saya supaya fokus kepada pelajaran sahaja membuatkan saya sentiasa berhati-hati.
“Lagipun saya sejak kecil tidak berminat dengan perkara itu. Saya hanya tahu belajar dan tidak memikirkan soal berkenaan. Yang penting, cita-cita saya dicapai tanpa ada penghalang.
“Namun, suami saya seorang yang kuat semangat, beliau tetap mencuba ‘nasib’ dan meminta keizinan ayah saya untuk membenarkan kami berkawan. Tidak menyangka kehadirannya menambat hati ayah dan ibu saya. Saya amat malu ketika itu, tetapi jodoh yang ditentukan Allah SWT amat kuat.
“Kami berkahwin ketika masih belajar dan sekarang hampir 25 tahun usia perkahwinan. Saya kagum dengan pengorbanan suami kerana dia tidak pernah menghalang cita-cita saya. Ketika saya menuntut di United Kingdom beliau sanggup bersama saya sehingga terpaksa mengorbankan senioritinya dalam kerjaya.” katanya yang juga dikenali sebagai ustazah selebriti.
Tidak kekok untuk berbicara soal keluarga, ibu kepada empat cahaya mata – Muhammad Naquib Izzul Wafiq, 24; Najeeha Izzatul Hana, 20; Najeeya Khayra, 13 dan Naiela Tihani,10 – beliau menjelaskan anak-anak adalah harta bagi dirinya kerana mereka juga turut berkorban kasih sayang dek ketiadaan beliau di sisi pabila ada urusan di luar negara.
“Namun Allah SWT amat adil dan berkuasa menentukan segalanya. Saya bertugas di USIM. Hanya empat minit dari rumah saya. Sebab itu, apabila saya berada di tanahair saya tidak akan lepas peluang bersama suami dan anak-anak.
“Saya akan memasak untuk suami dan anak-anak kerana mereka amat menyukai masakan saya. Suami saya berlatarbelakang dari Pahang, Kedah dan Kelantan dan suka masakan kari. Saya pula dari Kelantan sudah tentu apa yang saya masak beliau kena ’hadap’ sahaja.
“Akhirnya, saya boleh menerima cita rasa beliau dan suami juga suka apa yang saya suka. Seperti makanan pedas, ulam-ulaman dan budu. Suami saya kini tidak boleh tinggal cili api apabila kami makan bersama,” kata beliau yang tidak pernah lekang dengan senyuman dan ketawa.
Bercerita mengenai pengorbanan suami, beliau mengganggap suaminya adalah seorang perwira bagi dirinya. “Suami saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pendamping yang penyayang, tekun dan merindui saya ketika berada di luar negara. Anak-anakpun begitu, mereka faham tugas saya.
“Paling saya rindukan mereka apabila berada di luar negara. Saya pastikan akan masak dan tinggalkan masakan untuk mereka. Tidak kira berapa lama saya berada di luar negara.
“Sebagai contoh, yang terbaru saya ke Mesir dan Morocco selama lapan hari, selama tempoh itulah saya sediakan ’stok’ lauk yang telah dimasak kepada suami dan anak-anak,” katanya.
Melihat kepada pengorbanan ini, sememangnya Dr Nik Salida dan Mohd Najib adalah salah satu pasangan yang perlu dicontohi anak muda serta generasi lama. Kasih sayang tanpa sempadan kedua-dua mereka meletakkan bahawa tugas atau bebanan bukan penghalang untuk mereka dicemburui.
Sudah pasti Tuan Mohd Najib bertuah menemui pasangan hidup yang bukan sahaja bijak menguruskan keluarga, malah sentiasa mendapat panggilan dari pihak kerajaan dan swasta atau profesional menjayakan program keagamaan, rancangan motivasi dan akademik.
Jadi sudah jelaslah bahawa lagu Warisan Wanita Terakhir menjadi alunan wajib buat Tuan Mohd Najib untuk mengimbau kenangan serta pengorbanan permaisuri hidupnya bukan sahaja tokoh akademik disegani, malah sebagai Srikandi Disisi. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Ut elit tellus, luctus nec ullamcorper mattis, pulvinar dapibus leo.