BERITA UTAMA
Pusat mahu jadikan aset tanah di Kelantan pemangkin ekonomi industri makanan, pertanian

Pusat mahu jadikan aset tanah di Kelantan pemangkin ekonomi industri makanan, pertanian

KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan bercadang menjadikan aset tanah yang luas di Kelantan sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi masa depan menerusi industri makanan dan pertanian.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata bagi tujuan itu, pihaknya merancang membangunkan banyak kilang terutama yang berasaskan industri berkenaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menarik pelabur ke negeri itu.

“Di Kelantan, aset tanah yang ada bukan sahaja milik persendirian malah tanah kerajaan negeri juga masih banyak yang belum diterokai dan kita memikirkan cara aset-aset ini boleh dimanfaatkan.

“Kita berhasrat menjadikan tanah yang belum diterokai sebagai gedung makanan serta projek berasaskan makanan dan apabila ia berskala besar, baharulah kita boleh meyakinkan kilang-kilang yang berkaitan untuk berpindah ke Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog mengenai Sesi 2 Libat Urus RMK13 bersama Kerajaan Negeri Kelantan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu juga berkata dalam tempoh lima hingga 15 tahun akan datang, kerajaan menjangkakan banyak peluang pekerjaan yang ada di Kelantan cenderung ke arah industri makanan dan pertanian.

Beliau berkata perancangan perlu dilakukan bagi membangunkan tanah yang belum diterokai bagi membolehkan rakyat menambah pendapatan dengan bercucuk tanam.

“Pertanian ini boleh dijalankan secara moden, mampan dan mendapat hasil yang baik, bukan bermusim,” katanya.

Rafizi berkata antara pendekatan yang perlu diambil oleh kerajaan bagi menjayakan langkah itu ialah menyediakan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam bentuk baja, dana serta modal. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *