IPOH – Seorang penganggur yang mengasari emak saudaranya kerana marah dikongkong, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh wanita itu, minggu lepas.
Tertuduh, Lee Hao Yi, 21 tahun, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Lee Huey Ting, 54 tahun, di sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, dalam Daerah Kinta, antara jam 1 pagi, 6 Nov dan 8.25 pagi 10 Nov lalu.
Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun; dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sekurang-kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Feb depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan tidak berpuas hati dikongkong dipercayai menjadi motif utama seorang lelaki bertindak mengasari ibu saudaranya sebelum ditemukan mati dalam bilik sebuah rumah di Taman Puteri Lindungan Bintang, pada Ahad.
Mayat mangsa kemudian dijumpai dalam keadaan hampir reput dan membusuk, lapor Astro Awani.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, lelaki itu dipercayai menumbuk mangsa berkali-kali hingga jatuh tangga sebelum mengurung mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam bilik selama empat hari. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252