Pemimpin Korea Utara arah pengeluaran besar-besaran 'dron bunuh diri'

Pemimpin Korea Utara arah pengeluaran besar-besaran ‘dron bunuh diri’

SEOUL – Kim Jong-un mengarahkan pengeluaran besar-besaran ‘suicide drone’ atau dron bunuh diri, lapor media kerajaan pada Jumaat, selepas Pemimpin Korea Utara itu menyaksikan ujian sistem senjata, semalam.

Beliau memantau ujian dron yang direka untuk menyerang sasaran di darat dan laut, yang dihasilkan oleh Kompleks Teknologi Udara Tanpa Pemandu (UATC) Korea Utara.

“Beliau menekankan keperluan untuk membina sistem pengeluaran bersiri seawal mungkin dan memasuki pengeluaran besar-besaran berskala penuh,” lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

‘Dron bunuh diri’ ialah dron tanpa pemandu membawa bahan letupan yang direka untuk merempuh sasaran musuh secara sengaja selain bertindak sebagai peluru berpandu.

Pyongyang melancarkan dron bunuh diri buat kali pertama pada Ogos, dengan pakar mengatakan keupayaan berkenaan mungkin dikaitkan kepada kerjasama yang semakin mendalam antara negara itu dengan Russia.

Ujian pada Khamis menyaksikan dron tepat mencapai sasaran selepas terbang di sepanjang laluan yang ditetapkan, lapor KCNA.

“Dron serangan maut yang digunakan dalam jarak serangan berbeza adalah untuk melaksanakan misi menyerang dengan tepat mana-mana sasaran musuh di darat atau laut,” kata agensi itu.

Jong-un berkata dron itu mudah digunakan dan mempunyai komponen kuasa yang menarik kerana kos pengeluarannya agak rendah dan rangkaian aplikasi yang luas, seperti mana dilaporkan KCNA.

Beliau berkata Korea Utara baru-baru ini meningkatkan kepentingan membangunkan sistem perkakasan tanpa pemandu dan untuk mengintegrasikannya dengan strategi ketenteraan keseluruhan negara.

Pakar berkata dron dalam imej yang dikeluarkan oleh media kerajaan pada Ogos kelihatan sama dengan dron bunuh diri ‘HAROP’ dan ‘HERO 30’ buatan Israel selain ‘Lancet-3’ buatan Russia.

Korea Utara mungkin memperoleh teknologi itu dari Russia, yang mungkin memperolehnya dari Iran – dengan Tehran sendiri disyaki mengaksesnya melalui penggodaman atau dicuri dari Israel.

Pada 2022, Pyongyang menghantar dron merentasi sempadan yang tidak dapat ditembak oleh tentera Seoul, dengan mengatakan ia terlalu kecil.

Korea Selatan melancarkan perintah operasi dron tahun lalu untuk menangani ancaman yang semakin meningkat.

Pada awal tahun ini, Pyongyang menuduh Seoul melanggar kedaulatannya dengan menerbangkan dron ke atas wilayahnya untuk menggugurkan risalah propaganda, bagaimanapun, tentera Korea Selatan menafikan dakwaan itu.

Pada Oktober lalu, Korea Utara meminda Perlembagaannya untuk mentakrifkan Korea Selatan sebagai negara ‘bermusuhan’, menyaksikan kemerosotan mendadak dalam hubungan sejak Jong-un pada Januari mengisytiharkan Seoul sebagai musuh utama negaranya.

Korea Utara terus menjalankan ujian peluru berpandu balistik yang menentang sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pada Oktober meletupkan jalan raya dan kereta api yang menghubungkannya ke Selatan- AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *