KOTA KINABALU – UMNO Sabah menafikan menjadi dalang di sebalik penularan dakwaan mengenai wujudnya skandal rasuah membabitkan pemimpin politik kerajaan negeri itu seperti tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata parti itu tidak wajar dikaitkan dengan kes berkenaan, lebih-lebih lagi dituduh sebagai dalang yang menyebarkannya.
Katanya, ia kerana isu itu mula tular apabila sebuah portal dalam talian berpangkalan di Kuala Lumpur melaporkan dakwaan rasuah membabitkan pemimpin tertentu tanpa menyatakan nama negeri.
“Jika pun ada ahli UMNO yang berkongsi laporan itu di media sosial, ia hanya perkongsian biasa yang tidak menyentuh mana-mana pihak.
“Justeru, kenapa pula mengaitkan isu ini dengan UMNO dan menuduh parti itu sebagai dalang,” katanya dipetik BHNews dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan itu menyusul selepas beberapa hantaran di laman media sosial mendakwa laporan skandal rasuah yang sedang tular itu didalangi parti tertentu, khususnya UMNO.
Awang Aslee berkata, isu yang tular itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sekiranya ada laporan.
“Jika benar-benar berlaku dan membabitkan pemimpin di negeri ini dan ada laporan, sudah tentu pihak berkuasa akan menyiasat bagi mengheret mereka ke muka pengadilan, justeru kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan dan memandang serius isu ini,” katanya.
Katanya, negeri ini perlu bebas daripada rasuah sejajar iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertekad untuk terus membanteras amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak yang menuduh UMNO terutama tentera siber supaya tidak mengaitkan parti itu sebagai dalang dalam pendedahan dakwaan skandal rasuah berkenaan.
“Sekiranya SPRM mencapai keputusan dan tiada masalah, ‘so be it’, tetapi sekiranya SPRM merasakan ada sesuatu, ambil tindakan, jangan timbulkan persepsi selagi siasatan belum selesai,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan kesediaan kerajaan negeri memberi kerjasama kepada mana-mana pihak khususnya SPRM jika ada tuduhan rasuah.
Ia berkaitan rakaman audio didakwa suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan sedang membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Hajiji turut meminta agar pihak yang memberi rasuah turut disiasat kerana mendakwa ia mempunyai niat tidak baik bagi mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252