KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyerahkan polis untuk menyiasat kes buli membabitkan seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak senior pusat pengajian tinggi itu dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian seumpama itu tidak wajar berlaku dan hanya merosakkan imej UPNM dan institusi pengajian tinggi.
“Kami berpendirian kejadian sebegini adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi.
“Justeru, pihak saya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini,” katanya dalam perkongsian di X di sini, pada Ahad.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.
Mangsa yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252