MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin berkata beliau sedia mengadakan perbincangan dengan Donald Trump yang dianggapnya sebagai seorang ‘berani’, sambil mengucapkan tahniah atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada beliau,” kata Putin dalam ucapannya pada Forum Valdai di bandar Sochi, selatan Russia.
Apabila ditanya sama ada beliau terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Trump, Putin menjawab, ‘sedia’.
Sebelum Pilihan Raya AS, Putin pernah mengungkapkan beliau lebih suka melihat Joe Biden, dan kemudian Kamala Harris, berada di Rumah Putih apabila ditanya calon mana lebih baik untuk Russia.
Tetapi, Moscow sejak sekian lama dilihat menyambut baik latar belakang anti pemerintah Trump dan huru-hara yang disuntiknya ke dalam politik Amerika dan global.
Moscow secara meluas didakwa campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden 2016 untuk meningkatkan kempen Trump menentang Hilary Clinton.
Bagaimanapun, Kremlin berulang kali menolak tuduhan berkenaan.
Pemimpin Kremlin pada semalamjuga berkata beliau kagum dengan cara Trump mengendalikan dirinya ketika cubaan untuk membunuh dalam satu perhimpunan awal tahun ini.
“Dia ternyata seorang yang berani,” kata Putin.
“Orang ramai menunjukkan siapa mereka dalam keadaan luar biasa. Di sinilah seseorang itu mendedahkan dirinya. Dan dia menunjukkan dirinya, pada pendapat saya, dengan cara yang sangat betul, dengan berani. Seperti seorang lelaki,” kata Putin. -AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252