KUALA LUMPUR: Insiden letupan di Lubnan yang mencederakan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-12) yang bernaung di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), semalam mengejutkan seluruh rakyat.
Dalam kejadian jam 1.54 tengah hari waktu tempatan (7.54 malam waktu Malaysia) itu, lima anggota MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami kecederaan ringan, termasuk seorang daripadanya cedera di tangan, manakakala seorang lagi anggota MALBATT 850-11.
Kejadian itu turut membuka mata rakyat Malaysia mengenai kehadiran tentera negara yang menjadi sebahagian daripada pasukan pengaman PBB.
Berikut adalah lima fakta mengenai MALBATT:
1. Selepas tamat darurat pada 1960, Malaysia menjalankan misi keamanan sebagai negara ke-16 yang menghantar tenteranya berkhidmat di bawah panji-panji PBB, bertugas mengawal keamanan Republik Congo yang sedang bergolak.
Batalion Keempat, Rejimen Askar Melayu Diraja, di bawah pemerintahan Leftenan Kol Ungku Nasarudin, sebagai batalion yang pertama berkhidmat di Congo pada tahun itu.
Tiga tahun selepas itu, perkhidmatan Tentera Darat dengan PBB di Congo tamat dengan kembalinya Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja ke tanah air pada 28 April 1963.
2. Penugasan Staf Markas dalam Misi UNTAC (UN Transitional in Assistance in Namibia) bermula pada Februari 1989 sehingga April 1990 dan mereka dikenali sebagai MALBATT.
3. Misi pengaman di Somalia atau UNOSOM menjadi antara penugasan yang paling diingati negara apabila batalion ini terbabit dalam misi tempur untuk menyelamat askar Renjer Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakara di Mogadishu pada 3 dan 4 Oktober 1993.
Menurut Bekas Komander Batalion Malaysia (MALBATT) 1, Operasi PBB di Somalia (UNOSOM II), Datuk Abdul Latif Ahmad, misi menyelamat itu adalah usaha sukar, genting, menggerunkan dan menakutkan.
Katanya, ia juga membawa kesan mendalam kepada semua yang terbabit dan kemungkinan masih ada segelintir anggota terganggu dan trauma dengan peristiwa itu.
Dalam misi berkenaan, anggota tentera, Koperal Mat Aznan Awang yang terbabit, Allahyarham Koperal Mat Aznan bertindak sebagai pemandu Kereta Perisai Pengangkutan Anggota (KPPA) maut dalam satu serangan hendap.
Kejadian itu turut mencederakan sembilan anggota yang lain.
Tahun lalu, genap 30 tahun pembabitan MALBATT dalam insiden berkenaan dan filem Malbatt Misi Bakara yang menelan kos RM20 juta menjadi penerbitan filem termahal negara.
4. Selain Republik Congo, Namibia dan Somalia, MALBATT turut ditugaskan di Kemboja (UNAMIC/UNTAC/UNMLT) bermula pada November 1991; Somalia (UNOSOM) dari 1993 hingga 1995; Bosnia Herzegovina (UNPROFOR/IFOR/SFOR) dari 1993 hingga 1998.
Selain itu, Timur Timor (INTERFET/UNTAET) pada 1999; Ethiopia (UN MEE) pada Disember 2000 serta Op Khas Timor Leste (MALCON) pada 2006.
5. Malaysia bersama 33 negara lain yang menyumbang kepada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menandatangani kenyataan bersama menyeru perlindungan pasukan pengaman PBB.
Selain Malaysia, negara lain yang menandatangani kenyataan bersama ini termasuk Armenia, Austria, Bangladesh, Brazil, Kemboja, China, Cyprus, El Salvador, Estonia, Fiji, Finland dan Perancis.
Selain itu, Ghana, Guatemala, Hungary, Indonesia, Ireland, Itali, Kazakhstan, Korea Selatan, Latvia, Malta, Mongolia, Nepal, Belanda, Poland, Qatar, Sierra Leone, Sepanyol, Sri Lanka, Turkiye, United Kingdom dan Tanzania. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252