KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan peguamnya untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah.
Muhyiddin dalam satu hantaran di laman Facebook, berkata beliau mempertahankan kenyataan yang dipertikaikan itu tidak bersifat memfitnah dan mempunyai pembelaan yang baik.
“Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah, saya sangat kecewa dengan keputusan itu.
“Sebagai mematuhi keputusan mahkamah, saya akan memadamkan hantaran yang menjadi subjek kepada tindakan saman ini daripada akaun Facebook dan media sosial saya.
“Saya mempunyai pembelaan yang baik terhadap tuntutan itu dan jumlah yang diberikan oleh mahkamah adalah terlampau tinggi,” katanya.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, mengeluarkan perintah ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Terdahulu di Mahkamah Tinggi hari ini, Muhyiddin diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi DAP itu.
Roz Mawar, mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif terhadap Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan dalam kerajaan PH daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020. – Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252