NARATHIWAT, Selatan Thailand: Datuk Bandar wilayah Rueso, Narathiwat ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata, di kilang pakaian miliknya dekat sini, semalam.
Serangan maut itu berlaku pada jam 11.40 pagi di kilang Hand-in-Hand di Rueso, menurut kenyataan dari Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) Wilayah 4.
Wichet Thaithongnum, 55, ditemui mati di sebuah bilik mesyuarat di kilang berkenaan dengan kesan tembakan.
Siasatan awal mendapati empat penyerang yang menaiki dua motosikal tiba di kilang yang letaknya di Kampung Yalaebor, Moo 5, daerah Rueso.
Mereka masuk ke dalam bilik mesyuarat dan melepaskan tembakan ke arah Wichet, yang sedang mengadakan mesyuarat dengan Nuree Dewadalae, pengerusi perusahaan komuniti kilang berkenaan.
Selepas tembakan dilepaskan, penyerang segera melarikan diri.
Wichet, yang dikenali di kalangan penduduk tempatan sebagai ‘Datuk Bandar Arm’, menjawat jawatan Datuk Bandar buat kedua kali di daerah berkenaan.
Beliau juga pernah menjawat jawatan Pengerusi Persatuan Sukan Narathiwat dan memiliki kilang Hand-in-Hand.
Pihak berkuasa sedang menyiasat motif serangan terbabit.
Media tempatan melaporkan kilang berkenaan sering dikunjungi oleh orang ramai untuk aktiviti lawatan sambil belajar kerana perusahaan komuniti itu menyediakan pekerjaan dan menjana pendapatan untuk penduduk setempat.- AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252
